PENYOKONG Mesir berharap pasukan mereka akan pamer prestasi terbaik di Russia. FOTO/AFP
PENYOKONG Mesir berharap pasukan mereka akan pamer prestasi terbaik di Russia. FOTO/AFP
Reuters

CAPE TOWN: Mesir dan Nigeria meneruskan persembahan buruk mereka akhir-akhir ini pada perlawanan pemanas badan Piala Dunia awal pagi tadi sekali gus menyulitkan hasrat mereka muncul pasukan pertama dari Afrika layak ke separuh akhir kejohanan terulung dunia itu.

Belgium mudah mengatasi Mesir 3-0 di Brussels untuk melanjutkan catatan tanpa menang pasukan utara Afrika itu sejak layak ke kejohanan di Russia bermula minggu depan.

Mesir kehilangan khidmat penyerang Mohamed Salah yang cedera namun jurulatih Hector Cuper berkata, pemain tonggaknya itu mungkin cergas bagi aksi pembukaan Kumpulan A menentang Uruguay pada 15 Jun ini.

Nigeria menghasilkan persembahan hambar pada aksi persahabatan terakhir mereka, kecundang 0-1 kepada Republik Czech yang gagal layak ke Piala Dunia.

Tomas Kalas memberikan Czech gol tunggal pada minit ke-25 di Schwechat, tidak jauh dari ibu negara Austria, Vienna, selepas dia merembat masuk bola muntah susulan sepakan sudut untuk mengatasi penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho.

PEMAIN tengah Nigeria Alex Iwobi (tengah) melepasi halangan pemain Republik CzechVladimir Coufal pada aksi persahabatan. FOTO/AFP
PEMAIN tengah Nigeria Alex Iwobi (tengah) melepasi halangan pemain Republik CzechVladimir Coufal pada aksi persahabatan. FOTO/AFP

Nigeria, yang kalah tiga dan seri sekali daripada empat perlawanan terakhir mereka, memulakan kempen Piala Dunia menentang Croatia pada 16 Jun, namun mereka kelihatan tidak berminat pada babak pertama yang dikuasai Czech.

Nigeria meningkatkan tempo mereka pada babak kedua - yang tergendala seketika kerana hujan lebat - dan mencipta beberapa peluang namun tidak berjaya menemui jaringan menentang Czech yang melepaskan empat gol menentang Australia minggu lalu.

Turut bermain awal pagi tadi Panama, yang mana persiapan mereka berakhir dengan nota sedih apabila tumpas 0-1 di tangan Norway selepas gol awal Joshua King.

Membimbangkan buat Panama, yang berdepan Belgium, England dan Tunisia dalam Kumpulan G bagi penampilan sulung mereka pada pusingan akhir Piala Dunia, mereka bergelut untuk menangani kekuatan fizikal Norway, namun mereka mencipta beberapa peluang baik pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 8:50 AM