HAKIMI meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.  FOTO Reuters
HAKIMI meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

Yaoundé: Achraf Hakimi meledak sepakan percuma menarik untuk membawa Maghribi ke suku akhir Piala Negara Afrika selepas menewaskan Malawi 2-1, awal pagi tadi.

Malawi yang beraksi kali pertama pada peringkat kalah mati di kejohanan itu terlebih dahulu di depan menerusi rembatan Gabadinho Mhango dari jarak 40 meter di Stadium Ahmadou Ahidjo.

Tetapi Youssef En-Nesyri menanduk masuk gol penyamaan Maghribi pada minit akhir babak pertama sebelum Hakimi muncul wira dengan jaringan kemenangan minit ke-70 untuk membawa pasukannya ke saingan lapan terakhir.

"Apabila anda menang anda akan dihormati," kata jurulatih Maghribi, Vahid Halilhodzic.

"Malawi menjaringkan gol fantastik. Pemain saya beraksi dengan sangat baik pada babak pertama tetapi kurang ketajaman. Kami ada 10 peluang yang tak sepatutnya dilepaskan.

"Tetapi saya tetap yakin. Pasukan agak terkejut tetapi saya tahu gol kedua akan diperolehi. Kami kuasai perlawanan dan kami lebih berhak menang."

Aksi Maghribi di suku akhir sepatutnya berlangsung di Stadium Olembe di Yaounde tetapi dipindahkan susulan insiden rempuhan yang mengorbankan lapan orang dan 38 yang lain mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 8:22 AM