Pemain Mesir, Mohamed Abdelmonem meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO Reuters
Pemain Mesir, Mohamed Abdelmonem meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO Reuters
AFP

Yaounde: Juara tujuh kali, Mesir mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Negara Afrika selepas menewaskan Sudan 1-0, pagi ini, keputusan yang membolehkan lima pasukan lain termasuk Ivory Coast turut mara ke pusingan berikutnya.

Nigeria menamatkan Kumpulan D dengan kemenangan ketiga berturut-turut apabila menewaskan Guinea-Bissau 2-0, meletakkan naib juara Mesir berdepan juara Kumpulan E pada pusingan seterusnya, dan potensi bertemu Ivory Coast.

Tandukan Mohamed Abdelmonem 10 minit sebelum rehat di Yaounde melayakkan The Pharaohs ke pusingan kalah mati dan menyingkirkan Sudan, selain membolehkan Ivory Coast, Mali, Gambia, Malawi dan Cape Verde layak.

"Saya rasa Mesir berhak memenangi perlawanan ini tanpa ragu-ragu lagi berdasarkan peluang yang kami cipta dan corak permainan kami." kata jurulatih Mesir, Carlos Queiroz.

"Kesilapan kami ialah tidak menjaringkan gol kedua. Jika anda menjaringkan gol kedua permainan dianggap berakhir. Saya katakan dengan jelas. Jika kami mampu menang semua perlawanan 1-0, saya tetap akan rasa gembira."

Kemenangan Mesir memastikan Cape Verde dan Malawi layak sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.

Ivory Coast mendahului Kumpulan E dengan empat mata dan keputusan perlawanan menentang Algeria hari ini tidak menjejaskan peluang mereka berada dalam kelompok dua teratas.

Perkara sama dilalui Gambia dan Mali dalam Kumpulan F. Kedua-dua negara mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.

Juara tiga kali Nigeria meneruskan permulaan cemerlang dengan menewaskan Guinea-Bissau hasil jaringan babak kedua Umar Sadiq dan kapten William Troost-Ekong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 9:53 AM