Jurulatih Tunisia, Mondher Kebaier (kanan) membantah keputusan pengadil dari Zambia, Janny Sikazwe selepas perlawanan. FOTO Reuters
Jurulatih Tunisia, Mondher Kebaier (kanan) membantah keputusan pengadil dari Zambia, Janny Sikazwe selepas perlawanan. FOTO Reuters
AFP

Douala: Suasana kelam kabut tercetus pada aksi Piala Negara Afrika pagi ini, ketika Mali menewaskan Tunisia dalam perlawanan dicemari kontroversi selepas pengadil meniup wisel penamat sebelum cukup 90 minit perlawanan.

Kejadian itu membayangi kemenangan 1-0 Mali mengatasi satu daripada pencabar utama gelaran di Limbe.

Gambia dan Ivory Coast masing-masing pula mencipta kemenangan hasil satu gol ketika pusingan pertama peringkat kumpulan dilengkapkan.

Pengadil dari dari Zambia, Janny Sikazwe menunjukkan perlawanan ditamatkan selepas jam memaparkan 89 minit 42 saat menyebabkan pemain Tunisia berang ketika mereka cuba mendapatkan gol berdepan lawan yang bermain 10 orang.

Ketika kekeliruan tercetus, jurulatih Mali, Mohamed Magassouba memberikan sidang akhbar selepas perlawanan apabila pegawai perlawanan memasuki bilik itu dan menyatakan aksi akan disambung semula berbaki tiga minit.

Mali kembali ke padang tetapi pemain Tunisia tidak muncul menyebabkan pengadil mengambil keputusan menamatkan perlawanan terbabit.

"Keputusannya tidak boleh dijelaskan. Saya tidak faham kenapa dia membuatkan keputusan seperti itu dan kini kita lihat apa yang akan berlaku," kata jurulatih Tunisia, Mondher Kebaier.

Namun, keengganan pasukan Tunisia kembali ke padang boleh mengakibatkan mereka dikenakan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 12:18 PM