Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi
Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada istilah serik di jiwa tonggak naturalisasi negara, Liridon Krasniqi meskipun dikritik hebat peminat bola sepak negara ekoran prestasi ala kadarnya bersama skuad Harimau Malaya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Liridon yang muncul pemain kedua negara menerima taraf kerakyatan Malaysia selepas Mohamadou Sumareh pada awal tahun lalu gagal memberi impak diharapkan, malah aksinya boleh dikatakan lebih teruk berbanding pemain tempatan.

Lantas, tidak hairan mengapa ramai peminat yang mahu taraf kewarganegaraannya ditarik balik susulan prestasi buruk di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Bagaimanapun, ia langsung tidak mematahkan semangat pemain tengah menyerang itu yang mengakui tohmahan peminat sebenarnya menjadikannya lebih kuat untuk menyumbang kepada skuad negara.

"Terima kasih atas peluang untuk mewakili negara yang indah ini. Sudah lama menjadi impian saya sejak datang ke sini dan saya sangat bersyukur dapat melangkah ke padang bersama rakan sepasukan.

"Malangnya keputusan (yang lebih baik) tidak hadir, tetapi saya percaya kumpulan pengurusan dan pemain ini akan membawa kita lebih jauh.

"Saya tidak sabar untuk melihat pada masa hadapan nanti. Terima kasih atas sokongan, cinta dan benci menjadikan saya lebih kuat. Lebih banyak lagi yang akan hadir, InsyaAllah," katanya di laman Instagram miliknya itu.

Liridon ketika ini dipinjamkan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke kelab Australia, Newcastle Jets bagi memberi minit perlawanan kepada pemain kelahiran Kosovo itu.

Tempoh pinjamannya dijangka berakhir tidak lama lagi dan dia dikhabarkan bakal dipinjamkan pula ke kelab Thailand yang akan diumumkan oleh pengurusan skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:59 PM