POSTING yang dimuatnaik TMJ di laman Instagram. FOTO Instagram
POSTING yang dimuatnaik TMJ di laman Instagram. FOTO Instagram
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tindakan Liridon Krasniqi yang menyampaikan ucapan sokongan kepada rakan pasukannya Terengganu FC sebelum aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Piala Sumbangsih nyata tidak disenangi segelintir pihak termasuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Liridon yang menyertai skuad Penyu secara pinjaman dari JDT, memuatnaik ucapan selamat maju jaya sebelum perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu malam tadi.

Dia tidak diturunkan dalam aksi itu disebabkan syarat pinjaman yang dipersetujui kedua-dua pasukan, di mana pemain JDT yang berstatus pinjaman tidak boleh beraksi menentang skuad Harimau Selatan.

"Semoga berjaya rakan-rakan. Malangnya, saya tidak boleh bersama kalian untuk berada di atas padang malam ini (aksi Piala Sumbangsih). Jangan menyerah, kita mampu lakukannya," tulis Liridon di laman story Instagramnya.

Begitupun perkongsian itu disambut Tunku Ismail yang membalas dengan mencadangkan agar pemain Terengganu FC membayar gajinya.

"Bagi tahu rakan sepasukan untuk membayar gaji anda," kata pemilik JDT itu.

Bagaimanapun, posting berkenaan selepas itu dipadam oleh Tunku Ismail termasuk Liridon.

Dalam aksi Piala Sumbangsih itu, JDT berjaya melakar kemenangan 2-0 menerusi jaringan Juan Muniz dan Bergson da Silva.

Ia adalah trofi keenam JDT sekali gus menyamai pencapaian Selangor FC yang turut pernah memenangi Piala Sumbangsih sebanyak enam kali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 1:21 PM