LIRIDON bersama MyKad yang diterimanya pada majlis penyerahan di Pejabat Pendaftaran Negara Putrajaya minggu lalu. FOTO Ihsan FAM
LIRIDON bersama MyKad yang diterimanya pada majlis penyerahan di Pejabat Pendaftaran Negara Putrajaya minggu lalu. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


LIRIDON Krasniqi dilihat calon paling sesuai bagi menggantikan tempat Brendan Gan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al-Maktoum di Dubai, 26 Mac ini.

Brendan yang mengumpul dua kad kuning masing-masing ketika aksi bertemu UAE di Bukit Jalil pada 10 September lalu dan menentang Indonesia juga di venue sama 19 November, terpaksa diketepikan dengan Liridon kemungkinan menjadi pilihan.

Pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, ketiadaan Brendan bakal membuka peluang buat pemain lain mengisi posisi tengah termasuk Liridon yang dijangka menyertai pasukan selepas tonggak naturalisasi kedua negara itu menerima taraf kewarganegaraan minggu lalu.

Bagaimanapun, Yusoff menegaskan, keputusan akhir sama ada Liridon akan disenaraikan dalam kesebelasan utama tetap di tangan pengendali negara, Tan Cheng Hoe di mana pemain kelahiran Kosovo itu harus membuktikan kemampuannya untuk mengisi ketiadaan Brendan.

“Brendan tak boleh main (lawan UAE) pasal penggantungan dua kad kuning. Soal dia (Liridon gantikan tempat Brendan) saya tak boleh jawab kerana ia terpulang kepada jurulatih.

“Kalau jurulatih rasa Liridon boleh menggantikan, maka gantilah dia. Kalau Liridon ini tak boleh ganti, jadi tak boleh mainlah.

“Mungkin dia akan mula main dalam perlawanan akan datang. Kita pun tak tahu macam mana perancangan jurulatih, masa lawan UAE ini, terserah kepada jurulatih sepenuhnya,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Liridon, 28, sebelum ini menerima taraf kewarganegaraan Malaysia daripada Jabatan Pendaftaran Negara selepas melepasi proses penaturalisasian dan kini tinggal selangkah untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Liridon yang beraksi buat Johor Darul Ta'zim (JDT) serta pernah beraksi bagi pasukan Melaka United dan Kedah bakal menjadi pemain naturalisasi kedua negara, selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh menyarung jersi negara pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 5:59 PM