SAFAWI dicabar pemain Bahrain. FOTO FB FAM
SAFAWI dicabar pemain Bahrain. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Layangan kad merah yang diberikan kepada pemain skuad Harimau Malaya pada minit ke-83 ketika aksi persahabatan menentang Bahrain sebenarnya ditujukan buat tonggak sayap negara, Safawi Rasid dan bukannya Liridon Krasniqi.

Dalam aksi berstatus 'A' di Stadium Nasional Bahrain, Manama itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas 0-2 namun apa yang mencuri tumpuan sudah pastinya mengenai layanan kad merah yang diberikan kepada pemain negara.

Menurut Liridon, ramai yang menyangka kad merah itu ditujukan kepadanya tetapi ia sebenarnya dilayangkan kepada Safawi di bangku simpanan.

Liridon atau dikenali dengan panggilan Mat Don dikeluarkan oleh Cheng Hoe pada minit ke-81 bersama Safawi dan Mohamadou Sumareh dengan memasukkan tiga tenaga baru iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman dan Akhyar Rashid.

Begitupun tindakan pengadil menyalahkan Luqman ketika berjaya mengatasi pemain lawan di tepi garisan nyata tidak disenangi Liridon dan Safawi apabila bertindak membaling botol dan menyemburkan air sebagai tanda protes.

Pengadil dari Arab Saudi, Turki Mohammed Al Khudayr tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah ke arah bangku simpanan dengan ramai yang menyangka ia diberikan kepada Liridon.

"Untuk makluman anda semua, saya tidak dilayangkan kad merah. Kesilapan komunikasi," tulisnya di laman Story Instagram miliknya, sekaligus menamatkan kritikan yang dilemparkan peminat tempatan ke atas dirinya.

Menerusi pengesahan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kini dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle United Jets itu, kad merah itu sah diberikan kepada Safawi yang sebelum itu sudah menerima kad kuning pertama di dalam perlawanan.

Bagaimanapun, meskipun Safawi dilayangkan kad merah, namun pemain berkaki kiri itu masih boleh diturunkan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jumaat ini selepas difahamkan layangan kad untuk aksi persahabatan tidak di bawa ke pusingan kelayakan itu.

Sebaliknya ia hanya terpakai untuk aksi persahabatan seterusnya dengan Safawi digantung satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 5:42 PM