Liridon Krasniqi (tengah) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan di JDT. FOTO Ihsan JDT
Liridon Krasniqi (tengah) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan di JDT. FOTO Ihsan JDT
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi diumumkan secara rasmi sebagai tonggak baharu kelab Australia, Newcastle Jets selepas dipinjamkan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).

Liridon memperoleh kerakyatan Malaysia tahun lalu akan menyertai pasukan yang beraksi dalam A-League itu sebaik saja pintu perpindahan dibuka pada 16 Februari ini.

Menurut pengurus kelab, Joel Griffiths, kehadiran pemain tengah menyerang itu amat dialu-alukan bagi memantapkan barisan pasukan khususnya di jentera tengah menyerang.

Katanya, Liridon juga sudah tidak sabar untuk memulakan aksinya bersama kelab terbabit dan meraih pengalaman baharu.

"Dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Kehadirannya dialu-alukan dan dia ingin belajar mengenai budaya kita. Dia juga komited untuk menampilkan aksi terbaik dalam permainannya," katanya.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kosovo itu dikaitkan dengan Newcastle Jets selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT sejak musim lalu.

Sebaliknya dia banyak memanaskan bangku simpanan selain kerap diturunkan beraksi dengan JDT II di Liga Perdana.

Bagi memastikan kecergasannya pada tahap terbaik serta kekal bersaing dalam intensiti yang tinggi, langkah skuad Harimau Selatan meminjamkan Liridon ke Newcastle Jets dilihat tepat untuk mengembalikan keyakinannya, sekali gus sebagai persediaan terbaik sebelum dipanggil skuad kebangsaan.

Selain Liridon, seorang lagi pemain JDT dari Indonesia, Syahrian Abimanyu turut dipinjamkan ke kelab yang sama.

Untuk rekod, Newcastle Jets kini menghuni tangga tercorot A-League daripada 12 pasukan apabila sekadar mengumpul empat mata daripada enam aksi yang sudah dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 2:28 PM