LIRIDON ketika menjalani latihan bersama Odisha FC. FOTO Odisha FC
LIRIDON ketika menjalani latihan bersama Odisha FC. FOTO Odisha FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sudah bersedia untuk membantu kelab barunya, Odisha FC bagi mengharungi saingan Liga Super India musim ini.

Liridon atau turut dikenali dengan panggilan Mat Don dikalangan peminat bola sepak tempatan dipinjamkan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan pilihan untuk dibeli sepanjang tempoh pinjaman itu.

Jelas pemain tengah berusia 29 tahun itu, dia sudah tidak sabar untuk membantu skuad kendalian Kiko Ramirez yang hanya menduduki tangga ke-11 liga musim lalu.

"Hari ini adalah permulaan baharu. Saya ingin bersyukur kepada Tuhan yang memberi kesihatan yang baik dan memberi peluang buat saya mencuba dengan perkara baru.

"Saya doakan peminat di luar sana turut ceria. Odisha FC, saya Mat Don sudah bersiap sedia mengharungi liga India. Saya tidak pernah berputus asa untuk mencapai impian," katanya.

Untuk rekod, Odisha FC atau juga dikenali skuad Juggernauts antara kelab utama dalam Liga Super India di mana mereka pernah meraih kedudukan terbaik dalam liga apabila menduduki tangga keempat pada 2015 dan 2016.

Sebelum ini, JDT turut meminjamkan Liridon ke Liga Australia apabila beraksi buat Newcastle Jets selama enam bulan bermula Februari lalu.

Sepanjang dengan Newcastle Jets, pemain Harimau Malaya itu membuat sembilan penampilan dan berjaya memikat perhatian pengendali negara, Tan Cheng Hoe untuk disenaraikan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lalu.

Begitupun kemunculannya bersama skuad negara tidak berjalan seperti diharapkan apabila dia dikecam teruk peminat ekoran aksi longlainya sepanjang kelayakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 10:39 PM