ZII Jia memulakan aksi berdepan Yu Qi sebentar nanti. FOTO Bernama
ZII Jia memulakan aksi berdepan Yu Qi sebentar nanti. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akan mengetuai skuad Piala Thomas negara menentang tuan rumah, China pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China, petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan sebentar tadi, Zii Jia bakal menggalas tanggungjawab getir untuk memburu mata pertama negara akan berdepan tugas sukar apabila turun bertemu pemain nombor dua dunia, Shi Yu Qi.

Untuk rekod lima pertemuan sebelum ini, ia lebih memihak kepada pemain tuan rumah dengan empat kemenangan berbanding Zii Jia hanya menang sekali dalam pertemuan mereka.

Sementara itu, aksi beregu pertama juga dijangka akan menghadapi laluan berliku apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berdepan pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu adalah di Jelajah Dunia Akhir BWF, tahun lalu yang menyaksikan kemenangan tiga set memihak kepada pasangan China itu.

Melihat rekod pertemuan juga tidak memihak kepada Aaron-Wooi Yik apabila dari tujuh pertemuan, hanya satu kemenangan saja dan selebihnya memihak kepada lawan mereka.

Bagi aksi perseorangan kedua, Malaysia menurunkan Leong Jun Hao yang akan menentang Li Shi Feng dan ia pertemuan sangat penting bagi menghidupkan peluang ke final.

Dengan prestasi yang cemerlang ketika aksi suku akhir, Jun Hao yang berada di ranking ke-37 dunia itu dijangka mampu memberi tentangan sengit kepada Shi Feng meskipun ia berada ranking keenam dunia.

Seterusnya, jika beregu kedua Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berkesempatan turun dalam perlawanan petang ini, Malaysia dijangka mampu mendapatkan mata dari wakil negara ini dek kerana momentum mereka sangat baik ketika ini.

Sze Fei-Izzuddin akan turun bertemu Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dan kali terakhir mereka bertemu adalah di Terbuka India dengan kemenangan tiga set kepada pasangan tuan rumah itu.

Jika kedudukan terikat 2-2 bakal menjadi penentu ialah perseorangan ketiga apabila Malaysia menyandarkan harapan kepada Justin Hoh untuk membawa Malaysia ke final apabila akan menurunkan bertemu pemain raking ke-16 dunia, Weng Hong Yang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 4:28 PM