PENGASAS bersama JI, Abu Bakar Bashir.
PENGASAS bersama JI, Abu Bakar Bashir.

Kuala Lumpur: Pengasas bersama Jemaah Islamiyah (JI), Abu Bakar Bashir menegaskan tidak terbabit dengan serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis dan seorang cedera.

Dalam video dihantar anaknya Abdul Rahim Bashir kepada sebuah portal berita hari ini, Abu Bakar memaklumkan terkejut selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu, selain mengutuk serangan terbabit yang disifatkan bertentangan prinsip Islam.

"Saya mengecam keras perbuatan anak muda membunuh dua orang polis di Malaysia. Membunuh itu bukan ajaran Islam.

"Dalam Islam, apabila keadaan seperti ini, membela Islam cukup dengan dakwah dan doa, bukan dengan membunuh atau mengebom," kata Abu Bakar seperti dipetik menerusi video berkenaan.

Suspek berusia 21 tahun itu turut ditembak mati di tempat kejadian.

"Saya sama sekali tidak terkait dengan peristiwa semacam itu dan saya tidak ada hubungan apa-apa (dengannya). Barang siapa yang menuduh saya, menghubungkan saya dengan perbuatan semacam itu, mereka bohong dan saya ajak (mereka) buktikan di hadapan Allah SWT.

"Jangan semberono. Saya sama sekali tidak tahu dan selepas mendengar peristiwa itu, saya terkejut," katanya.

Beliau juga menasihati anak muda Islam menolak tindakan keras seumpama itu serta mengelak dari mudah mengkafirkan orang lain tanpa ada dalil dan alasan dalam Al-Quran.

"Kekerasan yang berlaku di Malaysia sama sekali bertentangan dengan Islam," katanya.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan berdarah pada awal pagi Jumaat lalu.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan yang parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 9:33 PM