Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia.
Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia.
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Kegusaran mengenai senarai pemain perseorangan dalam skuad lelaki Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) akhirnya benar-benar berlaku apabila Lee Zii Jia tiada dalam senarai pasukan untuk beraksi di final hari ini.

Jika semalam di separuh akhir semuanya berjalan sempurna sehingga membolehkan Malaysia mara ke final selepas menumpaskan Jepun 3-1, hari ini berdepan final pemain beregu lelaki, Haikal Nazari pula diletakkan selaku perseorangan ketiga.

Dalam laman sosial Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mereka menjelaskan Zii Jia mengalami masalah pernafasan akibat resdung selepas perlawanan semalam.

Leong Jun Hao akan menggalas tanggungjawab selaku perseorangan pertama menentang Weng Hong Yan manakala Eogene Ewe bertemu Lei Lan Xi.

Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengambil tanggungjawab selaku beregu pertama dan akan menentang Xie Hao Nan-Zheng Wei Han manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berdepan Liu Yi-Ren Xiang Yu.

Pada aksi suku akhir menentang Singapura, kelmarin, Zii Jia juga tidak dapat diturunkan susulan masalah resdung dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Bagaimanapun, Zii Jia kembali memperkuatkan cabaran negara pada aksi separuh akhir bertemu Jepun, semalam dan menyumbang satu mata untuk Malaysia meraih kemenangan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 2:47 PM