AKSI Negeri Sembilan ketika bertemu JDT, 18 Mei lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKSI Negeri Sembilan ketika bertemu JDT, 18 Mei lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Memburu kemenangan pertama saingan Liga Super musim ini menjadi sasaran Negeri Sembilan FC (NSFC) meskipun bakal berhadapan dengan Selangor FC (SFC) pada perlawanan kedua liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), pada aksi pertama minggu lalu, skuad Hobin Jang Hobin berharap mereka tidak menunggu lama untuk mendapatkan kemenangan.

Pemain pertahanan kanan NSFC, Che Rashid Che Halim berkata, dia dan rakan sepasukan sememangnya mengharapkan kemenangan dapat dicapai ke atas Selangor walaupun misi itu bukan mudah kerana beraksi di tempat lawan.

"Persiapan kami ke arah untuk mendapatkan kemenangan pertama. Kami akui tugas berhadapan dengan Selangor ini bukan mudah tambahan pula beraksi di tempat lawan, namun saya percaya peluang tetap ada.

"Dengan prestasi yang baik ketika menentang JDT tempohari, kami akan lakukan tugasan yang serupa apabila berdepan Selangor dan mengharapkan satu keputusan membanggakan dapat diraih.

"Sudah semestinya kami mahukan tiga mata pada perlawanan itu nanti," katanya hari ini.

Pemain berpengalaman selama lapan tahun dalam liga tempatan dan beraksi lebih 100 perlawanan sejak 2013 itu yakin, pasukannya ada keupayaan untuk mencipta keputusan lebih baik pada aksi itu nanti.

Menurut Che Rashid, aksi pertama menentang JDT memberi banyak pengalaman buat dia dan rakan sepasukan dalam merencanakan persembahan lebih mantap bagi menghadapi skuad Gergasi Merah itu nanti.

"Kami juga sudah dapat mengenal pasti beberapa kelemahan yang diperlu diperbaiki dan percaya pemain sudah sedia untuk memberikan persembahan lebih mantap, Ahad nanti," kata pemain berasal dari Johor ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 9:02 PM