PCS melalui Presidennya, Tan Sri Anifah Aman membuat permohonan rasmi menyertai GRS. FOTO Arkib NSTP.
PCS melalui Presidennya, Tan Sri Anifah Aman membuat permohonan rasmi menyertai GRS. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kota Kinabalu: Parti Cinta Sabah (PCS) hari ini diterima sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi berkata PCS melalui Presidennya Tan Sri Anifah Aman telah membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai GRS, dan semua presiden parti komponen dalam gabungan itu secara sebulat suara menerima PCS.

"Penyertaan PCS, sebuah parti lokal merupakan langkah penting bagi mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah.

"Kami percaya dengan kerjasama lebih erat, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain PCS, parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Masidi berharap rakyat Sabah dapat memberikan sokongan padu kepada GRS yang diketuai Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri dalam usaha parti itu membina masa depan Sabah untuk lebih cerah dan sejahtera.

Sementara itu, Anifah dalam kenyataan berasingan berkata, langkah menyertai GRS itu diambil antara lain kerana PCS adalah sebuah parti tempatan Sabah yang berkongsi visi dan misi sama dengan gabungan itu.

"Oleh yang demikian, kami melihat rumah kami di GRS yang merupakan entiti politik tempatan yang telah lama di minda penduduk Sabah.

"Sebagai parti politik tempatan, ia adalah di dalam DNA politik PCS untuk memperjuangkan hak Sabah dan segala kepentingan yang terbaik untuk negeri dan rakyat.

"Untuk ini, kami (GRS dan PCS) berkongsi prinsip 'Sabah First', yang merupakan pendekatan serampang dua mata yang meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai keutamaan dan mementingkan pelbagai pembangunan yang diperlukan di Sabah," katanya.

Mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan presiden-presiden parti komponen GRS, Anifah berkata, beliau memberi jaminan PCS akan bekerja keras dalam memastikan GRS terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik mencerminkan identiti rakyat Sabah daripada semua etnik dan kepercayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:16 PM