Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara acara regu selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini, trio negara yang ketuai oleh Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) bagai di rasuk apabila mempamerkan prestasi luar biasa dan bermain dengan begitu cemerlang tanpa banyak melakukan kesilapan untuk menang straight set 15-7, 15-12.

Kemenangan kali ini menebus kekecewaan kali terakhir di edisi Piala Dunia Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia tewas di perlawanan akhir kepada Thailand.

Di set pertama, permulaan begitu cemerlang buat Syahir Rosdi apabila servis daripadanya begitu sempurna dan Farhan melakukan umpanan secukup rasa sementara Azlan pula begitu bijak mencari ruang serta masa yang terbaik untuk buat hadangan.

Thailand menurunkan Poramet Siriswat (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) yang terdesak untuk menang selepas ketinggalan 5-11, terpaksa membawa masuk tekong berpengalaman mereka, Siriwat Sakha untuk mendapatkan mata menerusi servis namun itu tidak berjaya juga dan terpaksa membawa masuk semula Siriswat.

Thailand yang memerlukan kemenangan di set kedua menggunakan pelbagai taktikal dengan harapan boleh mengheret perlawanan ke set penentuan dan menghidupkan peluang untuk muncul juara.

Ketika perlawanan semakin tegang, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun melakukan pertukaran taktikal dengan membawa masuk Muhammad Haziq Hairul Nizam untuk mengimbangi perlawanan seketika.

Ternyata kemasukan Haziq Hairul tidak mengecewakan apabila membantu Malaysia mendapatkan mata melalui servisnya dan terus menjarakkan mata hingga memenangi perlawanan hari ini secara muttlak.

Berbekalkan sorokan ribuan penonton yang hadir, ia memberi semangat tambahan kepada pemain regu negara untuk terus mempamerkan aksi cemerlang sekali gus menafikan kebangkitan yang cuba dilakukan oleh skuad Gajah Putih apabila menoktahkan kemenangan dengan penuh bergaya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang dalam acara adalah sembilan tahun lalu di Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) musim 2014-2015.

Pada aksi terdahulu, Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara acara double menewaskan Thailand 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 10:53 PM
PASUKAN regu lelaki Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PASUKAN regu lelaki Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD