Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara acara double menewaskan Thailand 2-0 di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sebentar tadi di Stadium Titiwangsa.

Ia adalah kemenangan sangat manis kerana gergasi sepak takraw, Thailand tewas 16-17, 13-15 di tangan skuad negara yang disaksikan oleh ribuan penyokong di stadium malam ini.

Gandingan Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Zawawi bermula cemerlang di awal permainan sehingga mendahului 10-3 sebelum Thailand mencemaskan seketika kem negara apabila mengikat kedudukan 14-14, tetapi double negara segera menafikan dengan kemenangan penuh dramatik di set pertama.

Di set kedua, pasangan Thailand, Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut memulakan permainan lebih pantas untuk mengikat kedudukan 4-4.

Akan tetapi, permainan berubah ketika libasan dari Kitttiphum berjaya di hadang oleh Noraizat Nordin dan duo negara itu terus menjarakkan kedudukan dengan kelebihan tiga mata di hadapan.

Skrip sepeti set pertama hampir berulang apabila Thailand yang cuma bangkit untuk meraih kemenangan menggunakan segala taktikal termasuk membawa masuk Tanaphon Sapyen sebelum Kitttiphum masuk semula tetapi tetap gagal untuk menghalang kemenangan mutlak buat Malaysia.

Kemenangan straight set itu meletakkan nama Malaysia sebaris dalam senarai juara Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 9:32 PM
PASUKAN Double Lelaki Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin bersama Aidil Aiman Azwawi meraikan kemenangan ketika aksi menentang Thailand. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PASUKAN Double Lelaki Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin bersama Aidil Aiman Azwawi meraikan kemenangan ketika aksi menentang Thailand. FOTO HAZREEN MOHAMAD