SYED Saleh (dua kiri) melihat sendiri makanan yang dimasak chef di Dapur Malaysia untuk jemaah haji. FOTO Husain Jahit.
SYED Saleh (dua kiri) melihat sendiri makanan yang dimasak chef di Dapur Malaysia untuk jemaah haji. FOTO Husain Jahit.
Husain Jahit


Makkah: Sebanyak 3.2 tan beras digunakan sehari untuk menyediakan hidangan tengah hari dan makan malam buat semua jemaah haji Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, hidangan itu termasuk penggunaan lima tan protein sama ada ayam atau ikan dan 2.5 tan sayur.

Katanya, pengendalian makanan dalam jumlah besar setiap hari oleh Lembaga Tabung Haji (TH) memerlukan perancangan logistik, bekalan yang cukup dan mengikut kualiti ditetapkan.

"Penyediaan makanan oleh syarikat dilantik akan menggunakan bahan mentah yang dibeli daripada pihak tempatan dan ada yang diimport oleh Arab Saudi.

"Ikan, ayam dan daging ada yang diimport dari beberapa negara termasuk Malaysia, manakala segala rempah ratus dan perencah pracampur dibawa dari Malaysia untuk memastikan keseragaman rasa masakan yang disediakan," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji di sini.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, seramai dua chef akan ditempatkan di setiap lapan dapur penyedia makanan, sambil dibantu beberapa lagi tukang masak untuk menyediakan 42 menu yang berbeza setiap hari.

"Ini menjadikan kitaran untuk jemaah haji jumpa menu yang sama (berulang) akan mengambil masa dua minggu.

"Menu yang disediakan juga akan mengambil kira pelbagai aspek dan kita duduk bersama dengan Bahagian Dietetik Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melihat kepada makanan yang disediakan itu sama ada bersesuaian dengan cita rasa jemaah," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 10:46 PM