LEE Zii Jia meraikan kemenangannya. FOTO BERNAMA
LEE Zii Jia meraikan kemenangannya. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Zhao Jun Peng dari China 19-21, 21-11, 21-14

Menurut pemain ranking ke-10 dunia itu, dia masih mempunyai keyakinan yang tinggi selepas merangkul kejuaraan di Terbuka Thailand di Bangkok minggu lalu.

"Saya sangat gembira untuk meraih kemenangan walaupun saya tewas di set pertama. Jun Peng adalah lawan yang sukar kerana pernah menewaskan saya sebelum ini, saya sangat gembira untuk mendapat kemenangan," katanya selepas perlawanan tamat di Axiata Arena.

Ujar pemain kelahiran Kedah itu, keyakinan yang diraihnya ketika di Thailand sangat membantunya untuk bangkit selepas kecewa di set pertama.

"Sejujurnya, saya memikirkan dalam diri sendiri 'jangan tewas lagi di pusingan pertama'. Saya gembira berjaya mempamerkan permainan terbaik di set kedua dan ketiga untuk meraih kemenangan," katanya.

Zii Jia, yang tidak pernah melepasi pusingan kedua sejak penampilan separuh akhir pada 2020, akan menentang pemain India, Kiran George bagi mencari slot ke suku akhir.

"Pemain seperti Kiran boleh diibaratkan sebagai bintang yang semakin meningkat. Saya perlu berhati-hati kerana pemain seperti dia tidak akan mempunyai tekanan, tidak takut, dan akan melakukan segala-galanya.

"Ini adalah cabaran yang perlu saya hadapi. Saya harap saya dapat meneruskan prestasi baik untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 10:24 PM