IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei jelas kelihatan sedikit hilang fokus. FOTO Bernama
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei jelas kelihatan sedikit hilang fokus. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sedikit kesukaran untuk mengawal tekanan di set penentuan menyaksikan Malaysia terpaksa akur tewas 1-3 kepada China dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China, hari ini.

Menurut beregu kedua negara, Goh Sze Fei, dia dan pasangannya, Nur Izzuddin Rumsani mengakui turun dalam misi yang begitu penting untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan keempat sekali gus menyamakan mata 2-2 bagi menghidupkan sisa perjuangan ke final.

Namun begitu, ketika set penentuan, jelas kelihatan pasangan negara itu sedikit hilang fokus sehingga membenarkan lawan mereka, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi mengawal gelanggang dan permainan dengan begitu baik.

"Saya rasa itu (faktor kekalahan) semua dari mental, mungkin pada masa akan datang, kita boleh kawal segala tekanan lagi dengan lebih baik. Beberapa point mereka (Pasangan China) laju dan kuat. Jadi kita kena kurangkan bertahan dan lebih menyerang," katanya.

Sementara itu, Nur Izzuddin pula mengakui sedikit kecewa kerana gagal membantu Malaysia ke final dan mereka sudah memberi segalanya dalam perlawanan itu.

"Hari ini kami sudah cuba yang terbaik mungkin hari ini bukan rezeki kami. Saya bersyukur dengan keputusan kali ini (separuh akhir), masa akan datang akan lebih baik," katanya.

Dalam aksi final esok, China akan turun bertemu Indonesia yang berjaya menewaskan Taiwan 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir dan tuan rumah berpeluang untuk melebarkan kejuaraan mereka di halaman sendiri untuk kali ke-11.

Terdahulu, dalam aksi separuh akhir hari ini, pemain perseorangan lelaki pertama negara, Lee Zii Jia gagal mendapatkan mata pertama untuk negara selepas tewas straight set kepada pemain ranking kedua dunia, Shi Yu Qi.

Bagaimanapun, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menewaskan beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 21-12,21-17 sebelum tuan rumah kembali mendahului 2-1 selepas pemain perseorangan kedua mereka, Li Shi Feng mudah menewaskan Leong Jun Hao 17-21, 10-21.

Harapan untuk melihat permainan diheret ke perlawanan kelima tidak kesampaian apabila beregu kedua negara, Sze Fei-Izzuddin tewas kepada Yu Chen-Xuan Yi dalam pertarungan tiga set 21-18, 19-21,12-21 dalam masa 63 minit.

Untuk rekod, Malaysia hampir menamatkan kemarau panjang selepas berjaya ke final Piala Thomas pada 2014 namun tewas 2-3 kepada Jepun.

Kali terakhir Malaysia mendakap trofi teragung itu adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2 di perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 10:03 PM