SYED Saleh melihat proses pembungkusan secara automatik pek makanan di salah satu daripada lapan penyedia makanan buat jemaah haji Malaysia. FOTO Husain Jahit.
SYED Saleh melihat proses pembungkusan secara automatik pek makanan di salah satu daripada lapan penyedia makanan buat jemaah haji Malaysia. FOTO Husain Jahit.
Husain Jahit

Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan SAR30 juta (RM37.5 juta) untuk menampung kos penyediaan dua juta pek makanan bagi 31,600 jemaah haji Malaysia musim ini.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024H, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, makanan disediakan lapan syarikat penyedia yang dilantik di Makkah dan Madinah.

Katanya, kos ditanggung masih sama walau terdapat peningkatan kos bahan mentah, bahan yang diimport dari luar Arab Saudi, kos pengangkutan dan pelbagai cukai dikenakan Arab Saudi.

"Kos yang ditanggung oleh TH itu tetap sama kerana kontrak jangka panjang yang ditandatangani bersama pihak penyedia makanan dan ini menjadi satu perkara yang mencabar bagi kami, bagaimana hendak menangani kos dan pada masa sama menyediakan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji.

"Setiap tahun pihak kerajaan menetapkan proses-proses dan kemudahan tertentu yang perlu ditambah baik. Maka dapur juga perlu membuat penambahbaikan dan ia membabitkan kos," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji, di sini kelmarin.

Lapan syarikat penyedia makanan itu adalah enam di Makkah iaitu Al Wafa Catering, Al Salmi Catering, Nakha Alia Catering, Mohsen Mohd Al Amoudi Catering (Retaj Restaurant), Fawzy Abo Rozeyza (Makkah Kitchen) dan Tadco Catering.

Sementara dua lagi syarikat menyediakan makanan di Madinah iaitu Edarah Company For Hotel Management & Operation dan Ahmed Mohamed Zuhdi Company for Management & Operation of Tourist Accommodation.

Menurutnya, ada syarikat penyedia makanan itu masih kekal kerana sudah bekerjasama lama dengan TH, namun ada syarikat yang baharu terbabit menyediakan makanan untuk jemaah Malaysia.

Syarikat penyedia makanan itu perlu memenuhi standard antarabangsa HACCP atau sistem pengurusan keselamatan makanan yang ditangani melalui analisis dan kawalan bahaya biologikal, kimia serta fizikal, daripada pengeluaran bahan mentah, perolehan dan pengendalian, kepada pembuatan, pengedaran dan pengambilan produk siap.

Menurut Syed Saleh lagi, Unit Kesihatan Awam TH akan membuat pemeriksaan sepanjang musim haji, termasuk pemeriksaan mengejut sebelum dan selepas Masyair.

"Kedatangan yang tidak dimaklumkan lebih awal ini menjadikan syarikat penyedia makanan sentiasa menjalankan operasi pada tahap terbaik.

"Unit ini akan melihat sistem perparitan, sistem pengurusan sisa, peralatan yang digunakan, ramuan dan amalan penyediaan yang baik agar sumber jenis, kualiti dan bahan yang digunakan terjamin serta proses penyediaan makanan dilaksanakan dengan baik menggunakan ramuan selamat.

"Saya juga ingin tekankan di sini bahawa sebelum beroperasi, pihak penyedia makanan perlu melalui proses saringan penilaian ketat oleh kerajaan Arab Saudi, yang mana mereka perlu memohon kebenaran menerusi pejabat Gabenor Makkah dan Bandaraya Maakah serta Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Penguatkuasaan dan dapatkan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi," katanya.

Mengenai proses penghantaran makanan pula, Syed Saleh berkata, pihaknya menetapkan semua dapur menghantar sajian menggunakan kenderaan yang dibenarkan pihak berkuasa dan disimpan dahulu dalam kotak pemanas sebelum dibawa ke hotel pada masa ditetapkan.

Katanya, kenderaan itu diwajibkan menggunakan peranti GPS untuk memudahkan pengesanan lokasi hinggalah sampai ke destinasi dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 11:04 PM