AARON-Wooi Yik meraih kemenangan ke atas pemain Korea, Kim Young Hyuk-Wang Chan pada badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
AARON-Wooi Yik meraih kemenangan ke atas pemain Korea, Kim Young Hyuk-Wang Chan pada badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pilihan utama beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menempah slot pusingan kedua Masters Malaysia selepas mengetepikan gandingan Korea Selatan dari peringkat kelayakan, Kim Young Hyuk-Wang Chan sebentar tadi.

Aaron Chia-Wooi Yik, yang juga pasangan nombor empat dunia, berjaya menghadirkan keceriaan buat penonton di Axiata Arena selepas mencatat kemenangan 21-18, 22-20.

Menanti Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua esok ialah pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang sebelum itu menumbangkan Bjarne Geiss-Jan Colin Voelker 21-14, 21-10.

Sama seperti Young Hyuk-Wang Chan, ini juga kali pertama Aaron-Wooi Yik berdepan dengan wakil Tembok Besar itu.

Kali terakhir beregu lelaki mengecapi nikmat kejuaraan di Masters Malaysia adalah melalui Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.

Wooi Yik mengakui, mereka melakukan banyak kesilapan mudah dalam perlawanan itu, terutamanya di set pertama sehingga membolehkan lawan mendapat kelebihan sebelum mencatat kemenangan 21-18.

"Bagi saya, mereka tidak banyak memberikan tekanan kepada kami, cuma kesilapan sendiri yang menyebabkan kami berada dalam keadaan tertekan. Saya juga fikir kami tidak bermain baik hari ini," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Aaron pula menjelaskan, tekanan yang dihadapi ketika berada dalam situasi mata penting mampu menjadi latihan terbaik untuk mereka menguatkan mental menjelang perlawanan-perlawanan akan datang.

"Berdepan situasi genting seperti ini sebenarnya sangat baik untuk kita. Apabila ia sentiasa berlaku, sudah tentu keadaan itu akan menjadi kebiasaan, jadi sudah tidak tertekan lagi," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 9:59 PM