AKSI Izzuddin dan Sze Fei (kiri) ketika menentang beregu Kazakhstan. FOTO Aswadi Alias
AKSI Izzuddin dan Sze Fei (kiri) ketika menentang beregu Kazakhstan. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


Shah Alam: Menang mudah ke atas pasangan Kazakhstan bukan tiket buat pasangan negara Goh Sze Fei-Izzuddin Nur mendabik dada.

Beregu nombor dua negara itu tidak perlu bermandi peluh apabila hanya memerlukan 15 minit menewaskan Andrey Shalagin-Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4.

Namun bagi Sze Fei-Izzuddin apa yang penting terus kekal fokus dan konsisten dalam permainan kerana menanti mereka selepas ini adalah lawan dari Jepun.

Skuad negara melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Jepun esok dan Sze Fei-Izzuddin dijangka berdepan Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida.

"Esok bukan lawan yang mudah. Konsistensi itu penting. Kalau boleh elakkan kesalahan mudah kerana pasangan Jepun dikenali dengan corak permainan pantas mereka.

"Kami berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan apabila bertemu Jepun nanti dan seterusnya cuba yang terbaik untuk menjadi juara kumpulan. Apapun menang mudah ke atas lawan hari ini memberi sedikit kelebihan kepada kami untuk merehatkan mental dan fizikal," katanya Sze Fei.

Sementara itu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Wong Choong Hann berkata, Malaysia dijangka menurunkan barisan terbaik bagi memastikan skuad negara mampu menang ke atas Jepun.

Lee Zii Jia akan dipertaruhkan sebagai perseorangan pertama diikuti Ng Tze Yong dan juga Leong Jun Hao dijangka menggalas tugas perseorangan ketiga. Sze Fei-Izzuddin pasti diberi tanggungjawab sekali lagi disamping pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 8:26 PM