IZZUDDIN (kiri) sepakat untuk kembali menjadi pasangan Sze Fei. FOTO Ihsan Instagram norzazakaria
IZZUDDIN (kiri) sepakat untuk kembali menjadi pasangan Sze Fei. FOTO Ihsan Instagram norzazakaria
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei sah kembali berganding semula bersama pasangan lamanya, Nur Izzuddin Mohd Rumsani.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika dihubungi hari ini sambil memaklumkan alasan untuk beraksi di pentas olimpik menjadi punca mereka berganding semula.

"Kita dapat berita baik hari ini yang mana Goh Sze Fei dan Izzuddin sudah sepakat untuk kembali menjadi pasangan untuk meneruskan cabaran dan impian mereka beraksi di Olimpik.

"Mereka bertemu dengan saya dan Rexy. Setelah bertemu dengan mereka meluahkan ada kekesalan dan saya telah menasihati mereka untuk kembali bersama untuk mencapai impian olimpik.

"Saya turut nasihat mereka untuk belajar dari kesilapan dahulu kuatkan semangat setia kawan sebagai pasangan kerana mereka ada potensi yang sangat tinggi dan ia menjadi sia-sia kalau biarkan mereka begitu," katanya.

Sebelum ini, Sze Fei-Izzuddin membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri pada penghujung Januari lalu selepas kedua-dua mereka tidak sebulu.

Situasi berkenaan sekali gus menyaksikan Akademi Badminton Malaysia (ABM) terpaksa merombak bahagian beregu lelaki dengan Izzuddin digandingkan bersama Muhammad Haikal Nazri manakala Sze Fei berpasangan dengan Choong Hon Jian.

Dalam pada itu Norza berpandangan, impian Olimpik buat Sze Fei-Izzuddin sekiranya mereka benar-benar fokus memandangkan ranking dunia mereka tidak terlalu jauh ketika ini.

Tambah Norza lagi, beliau tidak menolak kemungkinan pasangan itu akan kembali dalam masa yang terdekat dengan kejohanan Terbuka Singapura menjadi pentas pertama selepas berpisah pada penghujung Januari lalu.

"Saya rasa tak terlalu lambat untuk mereka berganding semula sebab ranking mereka ketika ini 32 dan bukan beratus-ratus.

"Kalau mereka fokus bersemangat dan niat mereka ikhlas mereka boleh capai niat beraksi di olimpik," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 5:46 PM