SZE FEI-IZZUDDIN kembali bergandingan. -FOTO NSTP
SZE FEI-IZZUDDIN kembali bergandingan. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain beregu negara, Goh Sze Fei yakin dirinya serta Nur Izzuddin Rumsani membuat keputusan tepat kembali bergandingan semula dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, tahun depan.

Jelas Sze Fei, banyak perkara dipelajari sepanjang berpisah dengan Nur Izzuddin sebelum ini yang sekali gus mematangkan dirinya serta gandingannya itu selain mahu melupakan kisah berkenaan.

"Selepas kembali bersama, saya rasa keadaan semua baik dan kami boleh sama-sama sasar ke Olimpik. Saya yakin kami akan bangkit lebih baik kerana keserasian itu tetap ada memandangkan sudah lama bergandingan.

"Memang saya hargai apa yang Izzuddin dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) buat. Kami akan buat yang terbaik bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing selepas diberi peluang oleh BAM," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Sebelum ini Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Sze Fei-Nur Izzuddin kembali bergandingan semula demi misi memburu tiket ke Olimpik Paris.

Tambah Norza lagi, beliau tidak menolak kemungkinan pasangan itu akan kembali dalam masa yang terdekat dengan kejohanan Terbuka Singapura menjadi pentas pertama selepas berpisah pada penghujung Januari lalu.

Sze Fei-Izzuddin membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri selepas kedua-dua mereka tidak sebulu dan ia menyebabkan Akademi Badminton Malaysia (ABM) terpaksa melakukan rombakan menggandingkan Izzuddin bersama Muhammad Haikal Nazri manakala Sze Fei berpasangan dengan Choong Hon Jian.

Sementara itu, Sze Fei turut memohon maaf kepada Hong Jian kerana keputusan untuk kembali bersama Izzuddin menyebabkan pemain berusia 23 tahun itu sedikit kecewa.

"Saya rasa sekarang perlu minta maaf kepada Hon Jian dan terima kasih kerana bagi peluang belajar sesuatu daripada dia. Kami memang ada bincang dan dia kecewa, jadi saya benar-benar minta maaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 2:50 PM