SZE Fei (kanan) dan Izzuddin menunjukkan trofi selepas muncul naib juara Terbuka Switzerland. FOTO Ihsan Instagram nur_izzuddin_97
SZE Fei (kanan) dan Izzuddin menunjukkan trofi selepas muncul naib juara Terbuka Switzerland. FOTO Ihsan Instagram nur_izzuddin_97
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tumpas buat kali keempat tambahan pula dalam perlawanan akhir kepada Fajar Alfian-Rian Ardianto sangat memeritkan buat pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei namun ia bukan tiket buat mereka terus memendam kekecewaan.

Sze Fei sedar perjuangan dia dan pasangan, Nur Izzuddin Rumsani masih lagi panjang tatkala ada yang membandingkan mereka dengan gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Hasrat merangkul gelaran kedua tahun ini tidak berjaya dilakar Sze Fei-Izzuddin selepas kalah straight set 18-21, 19-21 kepada pasangan Indonesia itu yang juga pilihan keempat di final Terbuka Switzerland.

Menurut Sze Fei, mereka harus terus berusaha dan belajar terutama dalam menghadapi saingan musim ini walaupun diberi pujian selepas merangkul gelaran sulung jelajah dunia di Terbuka Jerman 13 Mac lalu.

"Kami harus belajar sehinggalah mendapat rentak yang betul. Terima kasih kepada yang sanggup berjaga malam untuk memberi sokongan kepada kami," kata Sze Fei selepas tamat perlawanan akhir St Jakobshalle semalam.

Sze Fei-Izzuddin sebelum ini pernah menumpaskan Fajar- Rian Ardianto iaitu di suku akhir Terbuka Denmark tahun lalu namun kekalahan semalam membolehkan lawan melebarkan rekod 1-4.

Sze Fei-Izzuddin yang juga pasangan nombor 18 dunia dijangka menumpukan sepenuh perhatian mempersiapkan diri bagi membantu skuad lelaki negara beraksi cemerlang di Piala Thomas yang berlangsung Mei depan di Bangkok.

Sementara itu, Izzuddin tetap rasa bersyukur walaupun dia dan Sze Fei terlepas peluang merangkul trofi kedua dan mengakui ada hikmah di Terbuka Switzerland.

"Syukur Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Percaya ada hikmah dalam setiap dijadikan. Berkat doa mak ayah dan keluarga saya sampai ke tahap ini. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kami," kata Izzuddin dalam akaun Instagram miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 11:46 AM