AKSI Sze Fei-Izzuddin ketika berdepan rakan senegara Aaron-Wooi Yik di separuh akhir BAC. -FOTO AFP
AKSI Sze Fei-Izzuddin ketika berdepan rakan senegara Aaron-Wooi Yik di separuh akhir BAC. -FOTO AFP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Prestasi yang dipamerkan oleh beregu lelaki negara, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China sesuatu yang harus diberikan pujian apabila berjaya mempamerkan corak permainan cemerlang.

Jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen berkata, beliau berasa bangga dengan prestasi Sze Fei-Izzuddin setakat ini dan berjaya mengalahkan pemain ternama dunia termasuk bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir semalam.

Selain itu, juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin turut menjadi mangsa pasangan negara itu.

"Ia sesuatu yang positif melihat Sze Fei-Izzuddin kembali bangkit selepas tewas kepada Aaron-Wooi Yik beberapa kali ini tahun ini di Terbuka Malaysia dan Seluruh England.

"Kini, mereka berjaya menewaskan Aaron-Wooi Yik sekali lagi. Saya harap mereka dapat kekalkan semangat ini dan beraksi baik di final nanti (hari ini)," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara beregu lelaki di BAC adalah menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007 sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka setahun sebelum itu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 2:38 PM