IZZUDDIN (kiri) dan   Sze Fei  raih naib juara GP Emas.
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei raih naib juara GP Emas.
Ferzalfie Fauzi

Sibu: Selepas bangga melihat anak buahnya cemerlang dalam penampilan sulung pada kejohanan bertaraf Grand Prix Emas pada Masters Malaysia minggu lalu kini jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit mempunyai satu lagi tugas berat.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu perlu bijak untuk memastikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sentiasa berpijak di bumi nyata dan tidak besar kepala ketika usia mereka baru menjangkau 20 tahun.

Soon Kit sedar Sze Fei-Izzuddin sudah pasti akan menjadi tumpuan peminat kerana tahun lalu juga mereka menunjukkan peningkatan apabila muncul juara Siri Antarabangsa Malaysia dan Terbuka Switzerland.

Menurutnya, kedua-dua pemain itu perlu kekal merendah diri dan fokus dalam memburu impian mereka.

“Sebagai jurulatih tugas saya adalah memastikan mereka kekal merendah diri dan berpijak di bumi nyata. Saya perlu membuatkan mereka sedar yang sikap besar kepala tidak akan membawa mereka ke mana dan pasti akan menjejaskan kerjaya mereka,” katanya.

Beliau yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 mengakui Sze Fei-Izzuddin perlu terus bermotivasi bagi mengejar impian mereka sama ada untuk beraksi di Kejohanan Dunia atau Olimpik.

“Apa yang mereka capai sekarang baru langkah pertama, perjalanan mereka masih jauh. Mereka perlu bekerja keras, sentiasa belajar dan memperbaiki kelemahan.

“Saya mahu mereka sedar, jika mereka mahu tunjuk besar kepala atau tidak beri komitmen, bila-bila masa saja mereka boleh digantikan. Situasi ini akan menjadikan mereka bersaing secara sihat,” kata Soon Kit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:47 AM