INSIGNE (tengah) ledak gol penyamaan menerusi penalti. FOTO/AFP
INSIGNE (tengah) ledak gol penyamaan menerusi penalti. FOTO/AFP
AFP

NAPLES, Itali: Lorenzo Insigne menewaskan bekas penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon sekali gus membolehkan mereka berada di landasan tepat untuk melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Paris Saint-Germain, awal pagi tadi.

PSG berkunjung ke Stadio San Paolo dengan harapan dapat meraih keputusan lebih baik selepas seri 2-2 di laman sendiri dua minggu lalu.

Bagaimanapun selepas Juan Bernat meledak gol pertama PSG yang menguasai permainan babak pertama, Insigne nyata tidak mensia-siakan peluang selepas Napoli dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua.

Keputusan itu menyaksikan Napoli menduduki tangga teratas Kumpulan C, berkongsi mata dengan Liverpool yang tewas mengejut 0-2 kepada Red Star Belgrade awal pagi tadi.

Jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti berkata, kempen mereka masih belum berakhir.

“Kami perlu berjuang hingga perlawanan terakhir,” katanya.

PSG pula menduduki tangga ketiga, hanya ketinggalan satu mata di belakang sekali gus menambahkan keyakinan Buffon dia serta rakan sepasukannya mampu melangkah ke pusingan kalah mati.

“PSG beraksi dengan baik. Satu persembahan yang cemerlang dan saya gembira kerana kami masih kekal di landasan tepat.

“Saya kekal yakin kerana kami menunjukkan peningkatan meskipun meraih keputusan seri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:25 AM