PEMAIN Bayern, Joshua Zirkzee (tengah) melepasi pemain PSG. FOTO/AFP
PEMAIN Bayern, Joshua Zirkzee (tengah) melepasi pemain PSG. FOTO/AFP
AFP

KLAGENFURT, Austria: Juara Jerman, Bayern Munich meledak tiga gol babak kedua apabila mereka menundukkan juara Perancis, Paris Saint-Germain 3-1 awal pagi tadi pada satu perlawanan persahabatan di sini.

PSG tampil tanpa pemain yang menjuarai Piala Dunia, namun mereka menurunkan Adrien Rabiot, yang enggan disenaraikan sebagai pemain simpanan skuad Perancis.

Bayern pula turun tanpa ramai pemain kebangsaan Jerman, sekalipun pasukan negara itu tersingkir awal di Russia.

PSG lebih menguasai babak pertama dan mendahului selepas 31 minit menerusi pemain Amerika Syarikat, Timothy Weah, pemain berusia 18 tahun anak lelaki legenda Afrika, George Weah.

Bayern mendominasi babak kedua dan menyumbat tiga gol dalam tempoh 18 minit.

Pemain Sepanyol, Javier Martinez membuka tirai jaringan apabila mengatasi penjaga gol Gianluigi Buffon, bintang veteran Itali yang menyertai PSG pada musim panas kali ini.

Pemain tengah Portugal, Renato Sanches dan penyerang Belanda berusia 17 tahun, Joshua Zirkzee menambah dua gol lagi, selepas Buffon digantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:51 AM