ANGEL DI MARIA
ANGEL DI MARIA

PARIS: Pasukan berbelanja mewah, Paris St Germain mengelak kekalahan yang boleh memberi kesan terhadap kempen Liga Juara-Juara mereka apabila Angel Di Maria melencongkan bola pada penghujung saingan untuk gol penyamaan 2-2 di laman sendiri berdepan Napoli, awal pagi tadi.

Napoli tampak lebih bagus sebagai sebuah pasukan walaupun kurang memiliki bakat individu, berada di depan dalam saingan Kumpulan C itu apabila Lorenzo Insigne meledak jaringan pada minit ke-29.

PSG yang sudah menang semua 10 perlawanan liga mereka, menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Mario Rui pada minit ke-61.

Jaringan Dries Mertens meletakkan Napoli kembali di depan pada minit ke-77 tetapi mereka dinafikan dengan jaringan mengejut Di Maria yang mengambil bola dan melencongkan mengatasi David Ospina tiga minit dalam masa tambahan.

Keputusan seri itu memberikan Napoli lima mata daripada tiga perlawanan dan PSG empat mata manakala Liverpool teratas dengan enam mata. 

Kekalahan buat pasukan Perancis itu boleh menyebabkan mereka mencipta jurang tiga mata di belakang dua kelab di atas.

Ia penamat sukar buat Ospina yang berjaya menyelamatkan banyak cubaan PSG.

Jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti kembali ke Parc des Princes buat pertama kali sejak mengetuai Bayern Munich yang tewas 3-0 September lalu. 

Dia dipecat kelab Jerman itu sehari selepas itu.

"Kami berhak menang tetapi kami sedar PSG memiliki kualiti yang baik dan mereka hanya memerlukan saat yang sesuai untuk menghukum anda. Kami ada satu lagi peluang di tempat sendiri dan saya harap prestasi kami sama seperti hari ini," kata Ancelotti yang melatih Di Maria ketika berada di Real Madrid.

PSG mencipta banyak peluang awal, terbaik menerusi Edinson Cavani apabila dia menerima hantaran jauh mengatasi pertahanan Napoli tetapi dihalang Ospina.

"Kami sedar ia pasti menjadi sesuatu yang sukar berdepan Liverpool dan Napoli, dan kami bukanlah pilihan," kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel. 

"Semua orang merasakan kami boleh, tetapi saya tidak mempercayainya.” - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:36 AM