AKSI  Mbappe menjaringkan gol kemenangan PSG ketika menentang St Etienne  di Stadium Geoffroy Guichard, awal pagi tadi. - FOTO AFP
AKSI Mbappe menjaringkan gol kemenangan PSG ketika menentang St Etienne di Stadium Geoffroy Guichard, awal pagi tadi. - FOTO AFP
Reuters

JARINGAN Kylian Mbappe pada separuh masa kedua memastikan kemenangan 1-0 Paris St Germain ke atas St Etienne awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan impian bergelar juara Ligue 1.

Penyerang Perancis, Mbappe yang gagal menjaringkan gol dalam dua aksi terakhir liga menembusi gawang lawan pada minit ke-73 membolehkan skuad Thomas Tuchel mengumpul 62 mata daripada 23 perlawanan.

Keputusan di tempat lawan itu menjarakkan PSG dengan pasukan di tangga kedua Lille dengan 12 mata yang turut beraksi lebih dua perlawanan. Lille seri tanpa jaringan menentang Montpellier di tempat sendiri semalam. St Etienne pula di tempat kelima dengan 40 mata.

Lima hari selepas menewaskan Manchester United 2-0 di Old Trafford dalam aksi Liga Juara-Juara, gergasi Perancis itu menguasai perlawanan tetapi ketumpulan tindakan penyudah menghampakan penyokong mereka.

PSG beraksi tanpa Neymar dan Edinson Cavani sementara pemain tengan berpengaruh Marco Verratti turut direhatkan Tuchel.

Ketiadaannya, Juan Bernat dan Leandro Paredes mempamerkan prestasi mantap di bahagian tengah dengan Marquinhos turut beraksi cemerlang.

PSG memiliki peluang terbaik pada minit ke-55 apabila percubaan Julian Draxler yang mendapat hantaran Angel Di Maria diselamatkan penjaga gol tuan rumah Stephane Ruffier.

St Etienne turut melakukan gerakan berbahaya dengan Kevin Monnet Paquet kerap mengancam kubu PSG.

PSG akhirnya menemui jaringan yang dicari menerusi Mbappe yang menolak cantik ke gawang St Etienne dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Daniel Alves untuk gol ke-19nya dalam 18 penampilan liga musim ini.

Dia muncul pemain Perancis pertama dalam tempoh 45 tahun memperolehi jumlah gol itu dalam 18 penampilan Ligue 1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 7:21 AM