GOL tunggal perlawanan jaringan Lorenzo Insigne. -Foto Reuters
GOL tunggal perlawanan jaringan Lorenzo Insigne. -Foto Reuters

NAPLES, Itali: Lorenzo Insigne meledak gol lewat permainan ketika Napoli menang 1-0 ke atas Liverpool, yang digambarkan pengendalinya, Jurgen Klopp sebagai “tidak cukup bagus” pada aksi Kumpulan C, Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dalam pertembungan di di Stadio San Paolo, skuad Carlo Ancelotti memberi tekanan hebat ke atas naib juara tahun lalu itu, sebelum menemui sasaran pada minit ke-90, apabila Jose Callejon membuat hantaran lintang yang disempurnakan Insigne.

“Kami belum cukup bagus,” kata Klopp. “Ia satu petanda buruk jika anda katakan yang penjaga gol adalah pemain terbaik anda.

“Tiada percubaan tepat?. Saya tidak ingat bila kali terakhir ia berlaku. Ketika ini saya perlu akur sebahagian besar persembahan mereka adalah kesilapan saya. Ia tidak sepatutnya berlaku.”

Kemenangan itu meletakkan Napoli di tangga teratas kumpulan dengan empat mata daripada dua perlawanan, dengan Paris Saint-Germain (PSG) ketinggalan satu mata selepas membelasah Red Star Belgrade, 6-1.

Liverpool sebelum ini mendahului kumpulan selepas menewaskan PSG 3-2, dua minggu lalu, manakala Napoli terikat tanpa jaringan menentang Red Star. Kelab Inggeris itu kini tercicir ke tangga ketiga.

Sementara itu, Ancelotti berkata, keupayaan pemainnya membaca permainan dan pergerakan lawan membuahkan hasil.

“Kami membaca permainan dengan baik, kami membaca pergerakan lawan tanpa mengorbankan corak permainan kami,” kata Ancelotti.

“Kami mempunyai seorang bek tengah tambahan dan mampu membina gerakan dari benteng. Ia keseimbangan yang sempurna.”

Kemenangan itu mengekalkan rekod Ancelotti yang belum pernah tewas kepada Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara dengan empat kemenangan dan sekali seri setakat ini. 

AC Milan kendalian Ancelotti pada tahun 2007 menewaskan Liverpool di final untuk menjulang kejuaraan musim berkenaan. - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:05 AM