MESSI (dua dari kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto Reuters
MESSI (dua dari kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto Reuters
Reuters

BARCELONA: Barcelona menewaskan pencabar terdekatnya, Atletico Madrid 1-0 hasil sepakan percuma hebat Lionel Messi awal pagi tadi untuk mencipta jurang lapan mata di persada La Liga dan semakin hampir mencipta gelaran ke-25.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca itu meledak dengan kaki kiri pada minit ke-26 bagi menghasilkan jaringan ke-600 dalam kariernya.

Atletico, yang meraih gelaran liga pada 2014 di Nou Camp tidak pernah menang di sana sejak 2016, boleh mengurangkan jurang kepada dua mata berdepan Barca jika menang namun jurulatih Diego Simeone memilih pendekatan konservatif.

Cubaan Thomas Partey dari jarak jauh menjadi satu-satunya usaha Atletico mengancam tuan rumah walaupun Simeone membuat dua pertukaran penyerang tetapi tidak memberi kesan kepada penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen.

Barca mendahului liga dengan 69 mata selepas 27 perlawanan, Atletico 61 mata dan juara bertahan Real Madrid 54.

“Ia perlawanan yang sengit. Messi ialah pemain unik dan jika dia memakai jersi kami dan bukan Barca, kami juga boleh menang,” kata Simeone.

Jurulatih dari Argentina itu mengakui sukar melihat Barca hilang cengkaman di persada liga ketika ini.

“Nombir tidak menipu dan anda jangkakan Barca tidak akan tewas empat atau lima perlawanan tetapi bola sepak adalah sesuatu yang menakjubkan jadi anda tidak tahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 9:43 AM