Messi (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
Messi (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

LIONEL Messi memberi perangsang utama kepada harapan memburu kejuaraan La Liga buat Barcelona apabila meledak jaringan tunggal lewat permainan untuk memastikan kemenangan 1-0 di Atletico Madrid, pagi ini.

Messi calon pilihan untuk memecah rekod memenangi Ballon d’Or buat kali keenam di Paris pada Isnin dan menjadi penyelamat sekali lagi buat Barca di Wanda Metropolitano ketika perlawanan tampak berakhir seri tanpa jaringan.

“Dalam perlawanan yang begitu sengit dan tegang, mempunyai pemain seperti Leo sememangnya satu kelebihan besar,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

Jaringan bintang Argentina pada minit ke-86 selepas gerakan satu-dua bersama Luis Suarez membolehkan Barcelona menyamai mata bersama Real Madrid di puncak liga ketika meninggalkan Atletico bergelut untuk melonjak memberi saingan dalam pemburuan kejuaraan.

“Adalah penting untuk memperoleh tiga mata tetapi juga kepada aspek mental. Ia memberikan kami dalam tempoh rehat Krismas dengan penuh yakin.” kata Valverde.

Atletico kini enam mata di belakang Real dan Barca, dengan kedua-dua pasukan bakal bermain Clasico pertama musim ini di Camp Nou pada 18 Disember.

Ini bermakna Atletico berkemungkinan akan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, jarak yang semakin jauh dan bakal bertemu Barca dan Real Madrid di tempat lawan selepas ini.

“Kami perlukan mata ini,” kata pengendali Atletico, Diego Simeone.

“Kami tidak jauh daripada mereka tetapi kami bimbang. Saya gembira dengan cara kami bermain tetapi saya tidak akan tersenyum mengenainya kerana ia tidak memberikan kami mata.”

Messi kini menjaringkan gol ke-12 buat dirinya pada musim ini dan juga keenam dalam lima perlawanan terakhirnya.

Dia juga kini mempunyai 25 gol daripada 27 perlawanan menentang Atletico tetapi ini adalah yang pertama di Wanda Metropolitano.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 7:58 AM