OMAR AL SOMA -Foto fail
OMAR AL SOMA -Foto fail
AFP

TEHRAN: Gol masa kecederaan Omar Al Soma membantu negara yang dilanda perang Syria layak ke play-off Piala Dunia zon Asia awal pagi tadi, ketika Korea Selatan dan Arab Saudi mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir tahun depan.

Syria ketinggalan 1-2 menentang Iran dan hampir tersingkir apabila Omar merembat menerusi celah kelangkang penjaga gol Alireza Salimi pada minit ketiga masa kecederaan, mencetus sambutan keraian menggila.

“Syukur kepada Allah kami akan meneruskan perjuangan ini... proses kelayakan bermula sekali lagi,” kata Omar. “Pemain adalah wira di padang dari minit pertama hinggalah minit terakhir.”

Keputusan seri 2-2 itu bermakna Syria kini berdepan Australia secara timbal balik dengan pemenang mara ke aksi play-off antara benua.

Pada malam terakhir aksi kelayakan zon Asia, Korea Selatan seri 0-0 dengan Uzbekistan untuk layak ke Piala Dunia kesembilan berturut-turut manakala Arab Saudi menyertai mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Jepun.

Gol kemenangan menakjubkan Fahad Al Muwallad di Jeddah membantu Arab layak ke Piala Dunia kali kelima, meraih tempat automatik kedua Kumpulan B sekali gus menyebabkan Australia terpaksa beraksi pada penentuan play-off.

Korea, Saudi dan dua pasukan yang sudah layak Jepun serta Iran kini berharap dapat memperbaiki kekecewaan Asia pada Piala Dunia 2014 apabila tiada pasukan dari benua itu layak ke peringkat kalah mati.

Kejayaan Syria turut meranapkan peluang tipis China layak ke Piala Dunia kali kedua sekalipun mereka menang 2-1 ke atas tuan rumah 2022 Qatar menerusi gol kemenangan lewat Wu Lei.

Terdahulu dalam Kumpulan B, Australia menang 2-1 ke atas Thailand namun mereka pasti menyesali kegagalan menyumbat lebih banyak gol dan terlepas peluang layak secara automatik menerusi perbezaan gol.

Impian Emiriah Arab Bersatu turut berkecai apabila mereka tumpas 0-1 kepada Iraq untuk berakhir di tangga keempat Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 9:10 AM