Kelana Jaya: Selepas pintu Piala Dunia 2018 ditutup serapat-rapatnya, skuad Harimau Malaysia masih berpeluang menebus duka itu dengan menjadikan Piala Asia 2019 sebagai pengubat kecewa.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) berkata, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bakal beraksi dalam pusingan play-off pada Mei ini bagi merebut salah satu slot menerusi ‘pintu belakang’ ke Piala Asia.

Katanya, selepas menyaksikan pasukan negara mampu memberi tentangan sengit kepada Arab Saudi sebelum tewas 0-2 di tempat lawan, beliau yakin Malaysia berupaya melepasi halangan itu.

“Arab Saudi berada di ranking 60 dunia manakala Malaysia 166. Dari segi itu kita boleh tahu keupayaan pasukan negara dan saya rasa permulaan yang baik kerana kita ada harapan untuk perlawanan akan datang (pusingan play-off).

“Peluang masih ada. Jika pemain bersungguh-sungguh, kita masih boleh layak ke Piala Asia.

“Misi kita selepas ini untuk menang play-off pertama dijangka pada Mei ini. Jika menang, insya-Allah kita akan layak,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, di sini, semalam.

Malaysia yang sekadar menghuni tangga keempat Kumpulan A dengan empat mata perlu menempuh aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 yang dijadualkan pada 2 dan 7 Jun ini.

Sebanyak 12 pasukan akan berentap pada pusingan itu yang diadakan secara timbal balik untuk menentukan baki lapan tempat ke pusingan akhir Piala Asia nanti.

Undian perlawanan play-off itu akan diumumkan di Kuala Lumpur pada 7 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:00 AM