SYRIA (jersi merah) harap tuah beraksi di Melaka.
SYRIA (jersi merah) harap tuah beraksi di Melaka.
AFP

MELAKA: Kempen kelayakan yang dilalui di sebalik perang saudara dan perpecahan dalaman menyaksikan Syria selangkah lagi untuk menempah tiket ke Piala Dunia jika mereka boleh mengatasi juara Asia, Australia.

Syria tidak diberi banyak peluang untuk membuat impak pada kelayakan zon Asia namun selepas layak ke playoff peringkat benua, mereka dipisahkan dengan empat perlawanan sebelum ke Russia 2018.

Bermain di “gelanggang sendiri” di Malaysia kerana peperangan saudara di negara mereka, Syria berdepan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka malam esok sebelum aksi timbal balik di Sydney, Selasa depan.

Pemenang aksi itu akan bermain dua lagi perlawanan play-off menentang pasukan tangga keempat dari wilayah Concacaf - ketika ini dihuni Amerika Syarikat.

AL-HAKIM (kiri) mahu anak buahnya merialisasikan harapan rakyat Syria untuk layak beraksi di Piala Dunia 2018.
AL-HAKIM (kiri) mahu anak buahnya merialisasikan harapan rakyat Syria untuk layak beraksi di Piala Dunia 2018.

Dalam laluan bagi aksi di Melaka malam esok, Syria mencatat keputusan seri dengan pasukan gergasi Korea Selatan dan Iran serta kemenangan ke atas China, Uzbekistan dan Qatar.

Jurulatih Ayman Al-Hakim berjaya membentuk pasukan mantap dengan kembalinya penyerang Firas Al-Khatib, yang menyatakan sokongan kepada pemberontak Syria dan peledak berbisa Omar Al-Soma, ketiadaannya sebelum ini juga dikaitkan dengan alasan politik.

“Layak ke play-off Asia satu keajaiban, tiada siapa menjangkakan kami layak ke peringkat ini memandangkan keadaan sukar yang kami hadapi di negara kami,” kata Al-Hakim.

“Ia menunjukkan keinginan kuat pemain Syria dan keupayaan mereka meraih sesuatu yang mustahil. Kami berharap dapat memenuhi impian layak ke Piala Dunia. Ia impian setiap rakyat Syria, setiap anggota pasukan kami sama ada pemain, jurulatih mahupun pegawai.”

Syria, yang menduduki ranking ke-75 dunia, tidak pernah layak ke Piala Dunia sebelum ini dan mereka memerlukan gol penyamaan masa kecederaan Al-Soma menentang Iran bulan lalu untuk memastikan tempat ke play-off zon Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 2:33 PM