Melbourne: Korea Selatan berdepan saingan getir menguji keupayaan mereka apabila menentang Uzbekistan pada suku akhir Piala Asia hari ini dengan White Wolves mengancam untuk membalas dendam.

Korea yang mahu menamatkan derita 55 tahun pada kejohanan utama sebenua itu, mengecewakan Uzbek dengan menafikan mereka tempat ke Piala Dunia 2014 menerusi perbezaan gol, memaksa mereka bersaing pada peringkat play-off sebelum kalah kepada Jordan.

Kegagalan layak ke Piala Dunia memberikan negara bekas Soviet itu insentif tambahan dan jurulatih Uzbekistan, Mirdjalal Kasimov menjanjikan naib juara Kumpulan B itu akan membenam lawan mereka di Melbourne.

“Kami akan menggunakannya sebagai motivasi,” kata Kasimov. “Kami akan gunakan apa saja motivasi untuk meraih keputusan diharapkan. Kami mahu membalas dendam, tapi penting juga kami bertenang. Korea Selatan antara pasukan paling berbahaya di Asia.”

Uzbekistan yang mara ke separuh akhir Piala Asia 2011, mengatasi Arab Saudi 3-1 untuk mara ke suku akhir dengan Sardor Rashidov menjaringkan dua gol ketika Kasimov merehatkan kapten yang beraksi di Liga-K, Server Djeparov dan mereka mahu mengancam Taeguk Warriors.

Jurulatih Korea Selatan, Uli Stielike berjaya mengemudi pasukannya menjuarai Kumpulan A selepas mengatasi tuan rumah Australia 1-0 hujung minggu lalu sekali gus menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Satu perlawanan yang teruk akan menyaksikan kami pulang menaiki kapal terbang,” jelas Stielike, yang tertekan untuk mengelak penamat kecewa pada Piala Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:21 AM