CAHILL (tengah) meraikan gol kemenangan Australia. FOTO/AFP
CAHILL (tengah) meraikan gol kemenangan Australia. FOTO/AFP
Reuters

TIM Cahill meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan pada masa tambahan bagi menghidupkan peluang Australia ke Piala Dunia 2018 hasil kemenangan 2-1 ke atas Syria dalam aksi timbal balik play-off kelayakan zon Asia, sebentar tadi.

Kemenangan secara agregat 3-2 itu membawa Australia ke pertembungan play-off benua bulan depan menentang pasukan di tangga keempat kelayakan Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) bagi merebut tempat ke Russia.

Cahill menjaringkan gol pertamanya menerusi tandukan pada minit ke-13, namun perlu menunggu 96 minit kemudian sebelum meledak gol kemenangan untuk menyalakan peluang Socceroos penampilan keempat berturut-turut di kejohanan elit itu.

“Saya tahu saya akan menjaringkan gol. Saya tidak banyak memegang bola tetapi pada akhirnya, saya membuktikannya,” kata Cahill yang beraksi dalam ketiga-tiga aksi Piala Dunia sebelum ini.“Itulah yang saya lakukan sepanjang hidup saya dan saya akan terus melakukannya.”

Amerika Syarikat (AS), Panama dan Honduras menjadi antara tiga negara yang berkemungkinan ditentang oleh Australia bagi aksi play-off yang akan diketahui, awal pagi esok.

Syria yang terpaksa bermain kesemua perlawanan di laman sendiri dalam saingan peringkat kelayakan di Malaysia berikutan ancaman keselamatan bersaing sehingga penghujung perlawanan namun jelas ia tidak mencukupi.

Pelawat yang kehilangan lima pemain tonggak susulan kecederaan atau penggantungan memperoleh permulaan baik apabila mendahului seawal minit keenam untuk memegang kelebihan selepas aksi pertama berkesudahan 1-1.

Selepas Tamer Haj Mohamad bijak memperdaya Mark Milligan di bahagian tengah, bola hantarannya dimanfaat sepenuhnya Omar Al Somah yang pantas menewaskan pertahanan Australia sebelum menjaringkan gol menerusi rembatan kaki kirinya.

Australia kemudian membalasnya apabila Cahill yang memperoleh hantaran baik Mathew Leckie melonjak untuk menanduk masuk bola ke gawang Syria yang juga jaringan ke-103 miliknya di peringkat antarabangsa.

Tuan rumah tampak lebih menguasai permainan, namun tiada gol terhasil sebelum Cahill muncul wira pada masa tambahan ketika Syria terpaksa beraksi 10 pemain selepas Mahmoud Al Mawas dilayangkan kad kuning kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:23 PM