BADDROL jaring gol tunggal negara.
BADDROL jaring gol tunggal negara.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pemain tengah Harimau Malaya Baddrol Bakhtiar menganggap jaringannya ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan lebih bermakna jika mereka dapat mengelak daripada kekalahan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Malaysia memberikan tentangan sengit namun tewas tipis 1-2 kepada UAE dengan Baddrol meledak gol tunggal skuad negara pada minit ke-58 selepas pasukan pelawat mendahului menerusi jaringan Omar Abdulrahman (m-21) dan Ahmed Khalil (m-52).

Baddrol, 27, yang baru mendirikan rumah tangga dengan pasangan seusianya Norizan Mustapha Khalid tidak mahu terlalu meraikan gol itu kerana masih tidak cukup membantu pasukan meraih sebarang mata.

“Tiada apa yang perlu diraikan. Saya menjaringkan gol tapi kami tewas. Memang sasaran saya untuk menjaringkan gol bagi dihadiahkan kepada isteri.

“Tapi ia akan lebih bermakna jika kami menang atau seri,” katanya.

Walaupun tewas ada sesuatu yang positif ditunjukkan Harimau Malaya selepas diaibkan UAE 0-10 di Abu Dhabi pada 3 September lalu.
Biarpun beberapa rombakan dilakukan pengendali sementara Datuk Ong Kim termasuk meletakkan Baddrol sebagai pemain tengah bertahan bersama Ahmad Fakri Saarani, corak taktikal itu nampak berkesan.

“Saya pernah bersama Fakri sebelum ini, jadi tak ada masalah. Saya tidak ada masalah beraksi di mana-mana posisi kerana itu keputusan jurulatih,” katanya.

Harimau Malaya kini mengharapkan slot beraksi pada pusingan play-off untuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 selepas tersingkir awal dalam perebutan ke Piala Dunia 2018.

Berbaki satu perlawanan Kumpulan A menentang Arab Saudi pada Mac 2016, Malaysia hanya mengumpul empat mata daripada tujuh perlawanan manakala Arab Saudi (16), UAE (13) dan Timor Leste (2).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:52 AM