GELAGAT Ceddy mencuba pelbagai jenis makanan.
GELAGAT Ceddy mencuba pelbagai jenis makanan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Anda buntu untuk mencari makanan sedap di sekitar Lembah Klang? Cuba layari profil Ceddy-CEO of Membebel di aplikasi TikTok. Pasti anda tidak akan kecewa.

Perwatakan Ceddy begitu ceria, gaya yang bersahaja serta amat menghiburkan. Ini ditambah pula dengan cara tersendiri beliau memperkenalkan satu-satu jenis makanan menerusi videonya yang membuatkan sesiapa sahaja yang menonton pasti berasa teruja dan membuak rasa untuk mencuba makanan itu.

Menggunakan bahasa yang mudah difahami dan sekali-sekala diselitkan dengan lawak jenaka di samping menjaga sensitiviti antara kaum dalam setiap kandungan videonya, semuanya ini menjadikan Ceddy mempunyai ramai pengikut berbilang kaum.

Akaun yang diberi nama Ceddy-CEO of Membebel kini mempunyai sehingga 168,600 pengikut dalam aplikasi TikTok.

Menurut Ceddy Ang, 33, (pemilik akaun Ceddy-CEO of Membebel), beliau mula menghasilkan kandungan video menerusi platform Twitch selepas bertugas sebagai pegawai pemasaran kepada beberapa agensi kreatif sejak lima tahun lalu.

Beliau berjinak-jinak dalam menghasilkan kandungan serta membuat video live diselang-seli dengan Youtube dan Twitch sebelum membuat keputusan untuk menghasilkan lebih banyak kandungan lain daripada yang lain dan tidak hanya mahu tertumpu kepada video sahaja.

"Saya terfikir untuk mencuba platform TikTok hasil lanjutan video daripada akaun Youtube saya sebagai seorang Lifestyle Vlogger serta berkongsi tempat serta restoran yang saya kunjungi dengan pengikut saya.

"Saya dapati kebanyakan video berkaitan dengan makanan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Sejak itu, saya buat keputusan untuk terus bertumpu kepada Foodvlog sahaja dalam TikTok," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ceddy yang berasal dari Pulau Pinang berpendapat, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di Malaysia secara tidak langsung memangkin kepada perkembangan variasi jenis makanan yang mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

"Sesuatu yang membanggakan ialah cara kita menyediakan makanan dan mengekalkan identiti makanan ini agar tidak ada negara yang boleh mendakwa makanan kita ini adalah makanan mereka. Bayangkan kalau ini berlaku, mesti perang besar dalam media sosial.

"Sebagai pengulas makanan, saya bangga apabila melihat ramai tanpa mengira bangsa dan budaya bersedia untuk mencuba pelbagai jenis makanan," katanya yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Lebih menarik lagi, ada dalam kalangan pengikut berbangsa Melayu turut meminta Ceddy untuk memperkenalkan makanan warisan Cina yang halal dan ini membuatkan beliau begitu bangga sebagai seorang pempengaruh makanan.

Sebagai rakyat Malaysia, Ceddy berpendapat perlu mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum lebih-lebih lagi ketika menjelaskan tentang cara penyediaan makanan daripada pelbagai budaya dan kaum.

"Sebagai contoh, saya akan melabelkan video saya dengan perkataan Halal, pork-free ataupun Non-Halal kerana saya tidak mahu membazirkan masa rakan pengikut Muslim untuk mengenal pasti sendiri status makanan yang saya perkenalkan itu.

"Selain itu, ia juga akan menepis rasa ketidakselesaan rakan-rakan Muslim kerana jika saya sebut makanan itu adalah halal, maka mereka boleh mencubanya tanpa rasa was-was di restoran tersebut," katanya.

Menurut beliau, video penjelasannya berkenaan dengan status halal dan pork-free juga turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengikutnya.

"Saya tak pernah menjangka kandungan video saya akan menarik begitu ramai orang. Pada peringkat awal saya tak ambil kira sama ada makanan yang saya makan itu halal atau tidak tetapi selepas menerima begitu banyak komen sama ada makanan itu halal atau tidak, saya buat keputusan untuk lebih berhati-hati dengan kandungan video saya," katanya.

Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya satu tamparan hebat buat kebanyakan industri dan sangat menguji ketahanan fizikal serta mental masyarakat di negara ini.

Banyak perniagaan terjejas, terpaksa menggulung tikar dan ramai juga kehilangan pekerjaan menyebabkan ada dalam mereka bertukar arah untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Sebagai seorang pempengaruh dan pencipta kandungan (content creator), Ceddy turut mengambil kesempatan menggunakan platformnya untuk membantu golongan peniaga yang terjejas dengan mempromosikan produk mereka secara percuma bagi meringankan beban tanpa mengira kaum dan latar belakang.

"Dalam keadaan genting ini, semua orang memerlukan sokongan daripada satu sama lain. Saya bukan sahaja akan mempromosikan secara percuma malah saya akan mengajak pengikut saya untuk menyokong membeli produk mereka tatkala musim PKP ini," katanya.

Bagi Ceddy, media sosial dapat menyemai semangat perpaduan dan keharmonian sesama penggunanya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan acara besar antarabangsa seperti Sukan Olimpik di samping permainan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:00 AM