MERAKAM aktiviti lasak di Sungai Padas.
MERAKAM aktiviti lasak di Sungai Padas.
Hafiz Ithnin


Kali pertama penulis bersua empat mata dengan pemilik nama Sumiati Aris, 38, kira-kira empat tahun lalu ternyata orangnya cukup ceria.

Karektor yang ditunjukkan di media sosial bukan dibuat-buat. Itulah dirinya yang sebenar.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini sememangnya mudah mesra dengan orang baharu membuatkan sesiapa yang bertemu dengannya merasa selesa.

Malah, ketika meminta pertolongan berkenaan pelancongan di Sabah tidak pernah sekali pun dia menolak untuk menghulurkan bantuan kepada penulis.

Bagi suri kepada Azis Asmat yang lebih mesra disapa Umie itu, sifat jujur dan sentiasa membantu orang adalah perkara utama yang diterapkan di dalam dirinya dan dia amat mempercayai sebarang perilaku kebaikan bakal dirasai kemanisannya.

Umie berkata, sebelum menjadi seorang pencipta kandungan di media sosial, dia adalah seorang guru di sekolah rendah selama sepuluh tahun dan pada masa sama dia juga mempunyai kerja sampingan sebagai seorang jurufoto di Sandakan.

Jelasnya, dia menjadi jurufoto bertitik tolak apabila suaminya membelikan kamera DSLR kerana melihat dia mempunyai minat di dalam dunia fotografi.

Kemudian untuk mendalami dunia fotografi dia mengikuti kursus profesional yang dilaksanakan pihak kerajaan.

"Bermula dari mengikuti kursus saya menjadi jurufoto perkahwinan di Sandakan. Saya adalah satu-satunya jurufoto wanita untuk perkahwinan ketika itu di Sandakan.

"Saya sememangnya gemar kepada dunia fotografi dan tidak menyangka suami amat menyokong minat ini. Kemudian, ketika cuti sekolah suami sering membawa saya jalan-jalan di Sabah dan saya melihat negeri ini mempunyai kecantikan yang luar biasa," katanya.

Jelasnya, bertitik tolak dengan hanya mengambil gambar suka-suka sahaja ketika bercuti kemudian dia memuat naik foto berkenaan di media sosial. Tanpa di sangka, gambar dan pengalamannya banyak dikongsi pengguna maya.

Katanya, dia tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang pencipta kandungan kerana dia hanya berminat kepada aktiviti yang kreatif sahaja, tetapi sejak gambar-gambarnya mula mendapat sambutan di media sosial, dia mula pandang ke hadapan untuk menyediakan kandungan percutian untuk pengikutnya.

Jelasnya, ketika bercuti dia banyak mengunjungi lokasi di Sabah yang jarang diterokai pelancong tempatan dan luar negara. Bahkan suami sentiasa menjadi orang kuat untuk bercuti bersama sambil merakam gambar dan video yang menarik.

"Saya masih ingat lagi gambar percutian saya tular ketika mengunjungi Polumpung Melangkap View Camp Site di Kota Belud pada 2017. Ramai yang berkongsi di media sosial masing-masing mengenai keindahan lokasi berkenaan.

"Bermula dari situ saya mula menerokai lokasi tersembunyi di Sabah yang lain dan semakin hari semakin ramai pengikut saya di media sosial. Kebanyakan mereka adalah yang gemar kepada aktiviti percutian," katanya.

BERSAMA rakan dan pengikutnya ketika mendaki Gunung Kinabalu.
BERSAMA rakan dan pengikutnya ketika mendaki Gunung Kinabalu.

Katanya, meskipun ketika itu namanya meningkat naik sebagai seorang pencipta kandungan untuk pelancongan di Sabah dia tidak pernah merasakan diri sebagai seorang yang terkenal.

"Saya tidak pernah merasakan diri saya popular kerana niat adalah untuk membantu orang lain menikmati pengalaman percutian yang menarik di Sabah dan mereka juga boleh merakam gambar menarik seperti saya memuat naik di media sosial.

"Secara jujur saya juga tidak pernah sekali mengabaikan pertanyaan orang di media sosial yang bertanyakan pelbagai soalan mengenai sesuatu tempat percutian yang saya kunjungi. Bagi saya membantu orang lain adalah perkara yang paling manis," katanya.

Cerita anak bongsu daripada tiga adik beradik itu, dia juga ingin menjadikan Sabah sebagai satu destinasi percutian yang wajib dikunjungi semua pelancongan tempatan dan luar negara.

"Apabila saya menerokai negeri ini saya melihat segala keindahan ada di sini. Sebut sahaja gunung, sungai, budaya, masyarakat atau aktiviti lasak. Semuanya ada di sini.

"Ada juga pengikut saya di media sosial yang pada awalnya menyangka gambar yang diambil saya itu lokasinya di luar negara tetapi apabila saya memaklumkan mereka ia hanya di Sabah, ramai mahu mengunjunginya," katanya.

Katanya, dia juga melihat kehadiran pengikutnya di media sosial ke Sabah membantu ramai pemain industri pelancongan di negeri itu dan sekali gus merancakkan ekonominya.

"Apabila ada yang bertanya mengenai ejen untuk ke sesuatu lokasi di Sabah saya sentiasa terbuka untuk berkongsi kepada mereka. Malah, membantu mereka mendapatkan harga yang terbaik untuk ke sesuatu lokasi yang diinginkan," katanya.

Melihat kepada perkembangan itu, Umie sejak Ogos lalu membuka syarikat percutiannya sendiri kerana melihat lebih puas untuk membantu pengikutnya secara terus ketika melancong ke Sabah.

"Saya melihat ia juga adalah satu peluang untuk saya menjana ekonomi keluarga. Malah, saya juga turut bekerjasama dengan rakan-rakan ejen pelancongan tempatan yang lain untuk kita bersama dapat merasai limpahan ekonomi ini," katanya.

Tambahnya, sifat jujur dan menjadi diri sendiri adalah kunci untuk menjadi pencipta kandungan dan usahawan kerana orang ramai akan merasa selesa dengan sifat begitu.

"Jangan menjadi orang lain kerana apabila pengikut berjumpa kita secara bersemuka, karektor yang berbeza menjadikan mereka akan kurang selesa dan tahu keadaan diri kita di media sosial hanya palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:01 AM