Pelakon, Faizdickie. Foto Hairul Anuar Rahim
Pelakon, Faizdickie. Foto Hairul Anuar Rahim
Minda Ranggong


PEMPENGARUH Faizdickie atau nama sebenar Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, 35, sentiasa membuat kelainan untuk kekal relevan menjadi pencipta kandungan dalam sosial media sesuai dengan arus masa.

Finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) ini berkata, lambakan platform sosial media pada masa kini menyebabkan wujud banyak persaingan di antara pencipta kandungan yang lain.

"Secara jujur, sangat susah untuk kekal relevan dalam media sosial. Disebabkan lambakan platform yang semakin mendapat perhatian daripada pengguna lain dan ia mewujudkan ramai pencipta kandungan yang baru.

"Oleh itu, untuk bersaing dengan pencipta kandungan yang lain, kita kena letak niat sama ada kita sekadar nak mengejar populariti atau memberi kesedaran kepada masyarakat melalui kandungan yang kita hasilkan.

Faiz juga berkata, niat yang bagus juga penting untuk kekal relavan dalam industri ini. Bukan sekadar nak terkenal dengan membuat kandungan yang tidak bermanfaat.

"Kita nak terkenal senang sahaja, buat benda di luar kelainan. Buat benda bodoh, orang akan angkat kita dan kongsi. Tapi benda ini tidak sihat. Kalau kita bermula dengan benda yang tidak elok, orang akan menganggap kita terus buat benda macam tu. Jadi sampai bila nak buat kandungan yang sebegini?.

"Sebelum bermula, kita kena fikir dahulu. Sebenarnya tidak salah untuk buat kandungan yang sedikit viral untuk naikkan nama kita. Tapi bila kita dah terkenal nanti, kita kena ubah apa yang kita nak buat supaya kandungan tersebut boleh diterima oleh masyarakat.

"Terdapat banyak perubahan yang saya buat dalam kandungan dahulu dan sekarang. Dahulu saya banyak membuat parodi tentang masyarakat, tetapi selepas saya dikenali banyak orang, saya cuba untuk membuat kandungan yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat seperti gaya hidup, melancong dan sebagainya," katanya.

Faiz juga mengakui bahawa pendapatan menjadi seorang pencipta kandungan ini tidak sentiasa lumayan.

"Menjadi pencipta kandungan ini ada pasang surutnya. Ada musim kering seperti awal tahun dan hujung tahun kerana klien banyak menutup akaun dan mereka tidak melabur sangat dalam menjalankan promosi. Pendapatan kami hanyalah bergantung kepada promosi." katanya.

Dalam masa yang sama, Faizdickie akan membintangi drama Cik Misi 123 dengan memegang watak sebagai Baby Baharuddin. Ini merupakan drama pertama beliau.

Menurut Faiz, terdapat perbezaan dari segi cara kerja antara membuat kandungan sendiri di media sosial dengan bekerja bersama produksi.

"Kalau kita jadi pencipta kandungan, kita berlakon untuk kita sendiri. Maknanya, kita la tukang edit, jurukamera, dan penulis skrip. Kalau kita salah, kita boleh buat berapa banyak kali kita nak.

"Apabila kita bekerja dgn produksi, semua orang ada tugasan tersendiri yang ditetapkan. Jadi kita tak boleh senang-senang buat tugasan lain. Tapi itu tidak menjadi masalah kepada saya since saya ada latar belakang sikit," katanya.

Beliau juga bersedia untuk menyahut cabaran dalam bidang lakonan walaupun terpaksa bersaing dengan artis di luar yang telah lama bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:06 PM