GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Alor Setar: Pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial perlu berhati-hati sebelum menerbitkan sebarang kandungan untuk tatapan pengikut masing-masing di media sosial.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah dalam era kebangkitan media sosial hari ini, senario dan cabaran memupuk semangat perpaduan jauh berbeza berbanding dahulu.

Titah baginda, kadangkala dengan berita yang tidak sahih dan berunsur fitnah boleh membawa kepada tercetusnya perbalahan yang akhirnya mengguris kesejahteraan dan menyebabkan ketegangan dalam kehidupan bermasyarakat.

"Jangan cipta kandungan yang tidak sahih faktanya dan berunsur fitnah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat hanya akan merugikan semua pihak," titah baginda dalam sembah ucapan tahniah dan taat setia pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-80 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah kandungan yang dikongsi berupaya menghiburkan dan meluaskan pengetahuan para penonton, namun amat merugikan sekiranya manfaat itu dikorbankan demi kandungan tidak sahih yang sengaja dicipta untuk mengganggu perhubungan sesama rakyat.

Dalam pada itu, demi menjamin perpaduan kaum di negara ini khususnya di Kedah, baginda mengingatkan rakyat supaya menjulang tinggi nilai kebersamaan dan persefahaman antara satu sama lain.

Titah baginda, perselisihan faham dan pertelingkahan antara kaum perlu dielakkan supaya tidak berlaku perpecahan walaupun ada pihak yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman.

"Kita perlu menepis segala ancaman ini dengan bijaksana agar keharmonian kaum terus terpelihara, dan negeri Kedah terus menjadi bumi bertuah yang menjamin keamanan dan muafakat untuk semua," titah baginda.

Pada istiadat itu, Sultan Sallehuddin menganugerahkan darjah dan bintang kebesaran kepada 62 penerima yang didahului Raja Muda Kedah.

Pada istiadat hari ini juga, baginda turut menganugerahkan kepada 63 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-79, yang tidak diadakan pada tahun lalu.

Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Kerabat Diraja Kedah yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 6:17 PM