FATIHAH tertarik dengan falsafah drum circle tidak pernah diskriminasi peminat muzik.
FATIHAH tertarik dengan falsafah drum circle tidak pernah diskriminasi peminat muzik.
Nurul Husna Mahmud


TIADA salah atau betul apabila berada dalam bulatan 'drum circle.' Itu keindahan di sebalik aktiviti muzik yang menghimpunkan pelbagai alat perkusi dan pemainnya.

Falsafah permainan muzik secara berkumpulan berpandukan arahan lalu mencipta ritma dan irama yang harmoni menjadikan ia satu tarikan kepada Fatihah Khairuddin.

Kata gadis berusia 30 tahun, dia tidak perlu ada kemahiran dalam permainan instrumen muzik cuma hanya mengikuti arahan dan menikmati melodi yang terhasil.

Kelainan cara muzik dimainkan dalam drum circle itulah mendorongnya menyertai acara atau aktiviti terbabit.

"Dorongan dalam aktiviti drum circle adalah abang ipar yang juga pengasas The Colours Of Sound.

"Pada awalnya hanya membantu dan beliau banyak menganjurkan aktiviti drum circle untuk komuniti.

"Saya lihat sendiri bagaimana muzik itu menyatukan masyarakat menerusi instrumen perkusi, tidak kira lain budaya dan agama bersatu dalam bulatan yang sama.

"Mereka begitu santai dan masih ketawa bersama ketika bermain alat muzik tanpa perlu bimbang tahap kemahiran.

"Saya mengenali drum circle adalah dunia tanpa diskriminasi dan stigma kerana semuanya bersatu atas dasar sukakan aktiviti terbabit," katanya.

Kata Fatihah, minatnya lebih ketara sejak pandemik Covid-19 kerana aktiviti membantu dia lebih tenang dan fokus.

"Selepas pandemik saya giat mengikuti drum circle kerana ia adalah cara saya boleh relaks dan bersantai dengan kawan baru.

"Bagi saya drum circle juga satu bentuk terapi selepas penat dengan rutin harian bekerja mahupun menguruskan keluarga," katanya.

Bagi guru muzik, Emily Tay Chiew Lee, konsep drum circle yang mengalu-alukan sesiapa sahaja mengendalikan alat muzik juga menunjukkan ia meraikan semua golongan.

"Dalam drum circle banyak mengajar erti kerjasama, bersatu dan harmoni. Ini juga pada saya seiring dengan moral masyarakat yang mana mengajar erti perpaduan.

"Dari sudut lain ia juga mendidik erti kesamaan dan membantu individu membina keyakinan diri berdasarkan peranan yang ada dalam kumpulan ini.

"Ada masa mereka boleh duduk di bangku pemain muzik atau menjadi konduktor untuk hasilkan irama atau melodi diingini.

"Saya banyak menyaksikan sendiri drum circle membantu ramai orang mengatasi rasa malu," katanya.

Sejauh mana penyertaan wanita dalam aktiviti drum circle, kata Emily, tiada prejudis menjadikan aktiviti ini sesuai disertai atau dilakukan wanita.

"Aktiviti ini semula jadinya sesuai dan banyak manfaat untuk wanita. Saya perasan wanita zaman ini tidak banyak masa walaupun untuk diri sendiri.

"Dengan menyertai drum circle, mereka ada ruang untuk lepaskan tekanan dan ia boleh disertai bersama anak atau suami.

"Saya juga banyak bekerja dengan komuniti terutama golongan istimewa dan aktiviti ini banyak memberi perkembangan positif kepada mereka," katanya.

Sementara itu pengasas The Colours Of Sound, Muhammad Haiqal Hermanshah berkata, kaum wanita mempunyai daya tarikan yang tersendiri dalam drum circle.

"Pemuzik atau ahli drum circle wanita mudah didekati dan lebih pandai berinteraksi. Contohnya, jika ada komuniti drum circle, wanita biasanya ke depan terlebih dahulu dan duduk bersama bermain drum.

"Kelebihan aktiviti drum circle bagi kaum wanita pula ia adalah platform untuk diri mereka mencuba serta mengetengahkan bakat yang ada.

"Dalam pada masa yang sama, wanita terbabit berpeluang mempelajari teknik pernafasan dengan betul.

"Drum circle adalah tempat di mana kaum wanita boleh redakan tekanan dan juga mengenali kawan baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 7:00 AM