Nurul Husna Mahmud


BERKECIMPUNG lebih 10 tahun dalam bidang muzik terutama aktiviti 'drum circle' banyak membawa pemuzik sepenuh masa yang juga pengasas Colour Of Sounds Muhammad Haiqal Hermanshah, 37, mengenali pelbagai jenis alat muzik dan pemuzik serata dunia.

Pertanyaan yang kerap singgah di halwa telinga bapa empat cahaya mata itu daripada rakan pemuziknya ialah mengenai alat muzik pernah dihasilkan masyarakat tempatan.

Lalu dia mengambil inisiatif mengumpul dan membuat kajian untuk menghasilkan produk alat muzik moden iaitu instrumen perkusi yang sering digunakan pemuzik 'drum circle.'

Alat perkusi boleh didefinisikan sebagai alat muzik yang bunyinya dihasilkan dengan cara diketuk, dipalu, digoncang, digores, digesel atau digoyang.

Menurut Muhammad Haiqal, dia menggunakan kelebihannya iaitu memiliki kelulusan dalam kejuruteraan mekanikal dan bermain muzik dengan menghasilkan produk perkusi tempatan pertama, dram bes.

"Idea untuk hasilkannya sudah lama iaitu 10 tahun lalu. Saya gabungkan skil dan pengetahuan dua bidang iaitu kejuruteraan dan muzik dalam membantu penghasilan alat muzik moden tempatan antara yang pertama.

"Saya lakukan sendiri kajian dan perkembangan produk termasuk memilih material selain kaedah terbaik dalam menghasilkan alat muzik perkusi pertama buatan tempatan.

"Dalam bidang pembuatan alat muzik, pembuat yang ada biasanya untuk penghasilan alat-alat muzik tradisi seperti kompang, rebana ubi dan sebagainya. Tiada pembuat bagi alat muzik moden terutama instrumen perkusi yang banyak dibeli dari luar.

"Apabila ada kenalan dari luar negara terutama rakan pemuzik 'drum circle' di Malaysia bertanyakan apa produk yang ada di sini, saya rasa terpanggil untuk menghasilkannya," katanya.

‘KEY TUNE’ atau laras tala pada bahagian kaki antara rekaan pertama membabitkan dram bes oleh anak tempatan.
‘KEY TUNE’ atau laras tala pada bahagian kaki antara rekaan pertama membabitkan dram bes oleh anak tempatan.

MUHAMMAD Haiqal bangga dapat hasilkan dram pertama hasil tempatan.
MUHAMMAD Haiqal bangga dapat hasilkan dram pertama hasil tempatan.

Kata Muhammad Haiqal, pada 2019, dram bes berjaya dihasilkan dan ia antara instrumen dram yang mempunyai potongan silinder atau menegak.

"Dram bes untuk dapatkan rekaan sahaja mengambil masa lima tahun. Alat muzik ini besar dan saiznya juga pelbagai.

"Malah dram ini mempunyai ton agak dalam kerana bentuknya yang lurus menegak. Dram bes pertama ini didatangkan dalam tiga saiz iaitu 25.4 sentimeter (sm), 30.48sm dan 35.56sm.

"Ciri-ciri istimewa saya tampilkan pada dram berkenaan ialah mudah disimpan apabila saiznya kecil boleh disatukan pada dram lebih besar.

"Selain itu dram ini mempunyai laras talaan (tunning). Kalau hendak nada rendah atau tinggi, pemainnya boleh berbuat demikian dengan melaras skru yang juga dipanggil 'key tune' pada bahagian kaki," katanya.

Menjelaskan ciri unik iaitu 'key tune' atau kunci talaan nada dram terletak pada bahagian dasar 'kaki' instrumen itu kata Muhammad Haiqal, itu adalah inovasi dram pertama dalam dunia dihasilkan dengan spesifikasi sedemikian.

"Kalau dram bes biasa, biasanya 'key tune' terletak di bahagian tepi. Saya fikirkan kanak-kanak kalau mereka belajar dan jika sesuka hati ketuk di mana-mana bahagian serta terkena pada skru 'key tune' di bahagian tepi, mereka akan tercedera atau terluka.

"Sebab itu saya hasilkan rekaan dram bes yang pelaras talaannya di bahagian bawah dan saya boleh katakan ini inovasi paling berbaloi untuk 10 tahun tempoh kajian," katanya.

Meskipun tampil dengan ciri istimewa, kata Muhammad Haiqal, harga dram terbabit masih mampu milik kerana beliau memfokuskan hasil itu haruslah dinikmati orang tempatan.

"Dari segi kualiti pula tiada kompromi kerana saya sendiri pemuzik dan lakukan kerja membaiki alat muzik. Saya hasilkan daripada bahan premium dan paling penting menggunakan tangan kerana mahu produk akhirnya berkualiti," katanya yang turut menghasilkan alat muzik kocak atau 'shaker.'

MUHAMMAD Haiqal  menggunakan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dalam pembuatan alat muzik terbabit.
MUHAMMAD Haiqal menggunakan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dalam pembuatan alat muzik terbabit.

MUHAMMAD Haiqal melakukan tebukan untuk bahagian laras talaan.
MUHAMMAD Haiqal melakukan tebukan untuk bahagian laras talaan.

Tambah Muhammad Haiqal, ketika dram bes pertama siap pada awal 2019, dia hadiahkan kepada rakan pemuzik untuk mendapat maklum balas mengenai ketahanan. Sehingga hari ini kata rakannya, alat muzik itu masih dalam keadaan baik.

Menerangkan pula proses pembuatan, kata Haiqal, kerjanya dalam penghasilan dram bes atau alat muzik lain dibantu mesin yang diubah suai untuk mudahkan kerja-kerja pemotongan dan membentuk.

"Bercerita mengenai material, rangka utama (shell) biasanya menggunakan papan lapis ('plywood') oak berkualiti tinggi. Kerja membentuk pula tidak rumit tetapi remeh kerana menggunakan acuan khas dihasilkan sendiri.

"Ilmu itu saya kutip atau dapat apabila bertemu dengan pembuat alat muzik tradisi seperti kompang dan rebana lama. Semua pembuat ini biasanya masyarakat Melayu Jawa seperti di Meru dengan Wak Johari, kemudian di Segamat dan Kuala Selangor.

"Dalam membentuk kayu menjadi 'bulat' perlu guna pelekat kayu yang khas dan ia perlu dipastikan betul- betul kering sebelum kerja pemasangan bahagian lain.

"Material di permukaan dram pula, saya gunakan kulit sintetik kerana bunyi dihasilkan lebih konsisten berbanding menggunakan kulit kambing sebenar," katanya.

Penggunaan kulit sintetik meluas dipakai pembuat dram luar negara kerana penggunaan kulit haiwan yang asli boleh memberi kesan kepada kualiti bunyi dihasilkan.

"Kalau guna kulit kambing, bagi negara empat musim tidak sesuai kerana pada musim sejuk kulit ini akan mengendur dan bunyi dihasilkan tidak 'sedap.'

"Faktor lain ialah 'sentimen' pencinta haiwan yang cukup kuat di luar negara membuatkan pembuat instrumen muzik mengelak menggunakan kulit haiwan sebenar," katanya yang turut menjelaskan proses dan material bagi penghasilan setiap alat muzik berbeza mengikut jenis instrumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:00 AM