ZAINAL menghibur sambil mendidik di Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound. - FOTO Genes Gulitah
ZAINAL menghibur sambil mendidik di Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound. - FOTO Genes Gulitah
Syafil Syazwan Jefri


Hiburan dan pendidikan boleh diadun bersama. Perkara itu dibuktikan sendiri penyanyi veteran, Datuk Zainalabidin menerusi penganjuran Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit), yang berlangsung di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC), baru-baru ini.

Memacu objektif utama untuk menghibur sambil mendidik, Zainal bersama tiga pemuzik lain iaitu maestro muzik, Michael Veerapen, pemain perkusi, Steve Thorton dan jurutera bunyi, Sunil Kumar, turut menyelitkan beberapa segmen perkongsian ilmu di samping mempersembahkan lagu-lagu popularnya.

Berkongsi mengenai penganjuran Sound Spirit, Zainal berharap agar konsep konsert ini mampu diterapkan oleh pemuzik atau pemain-pemain dalam industri kreatif yang lain.

"Konsert ini lain daripada kebiasaan persembahan konsert yang diadakan di negara kita, di mana mengetengahkan hiburan semata-mata. Saya rasa, acara hiburan juga perlu ada elemen pendidikan.

"Jadi, saya berharap agar orang-orang kreatif di negara, kini memiliki pola fikir yang sama iaitu untuk berkongsi ilmu dengan generasi baharu yang bekerja di dalam industri kreatif.

"Orang (berpengalaman) seperti kami, kongsikan ilmu dan pengetahun kami bagi membantu mereka yang baru menapak ini, mengikut laluan yang betul.

"Ini adalah projek perintis. Jadi, kami cuba tunjukkan apa yang boleh dilakukan (bagi membantu industri)," katanya.

Usaha Zainal dalam mengadakan konsert yang turut membawa lebih 250 pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) itu juga mendapat perhatian beberapa IPT lain.

"Kami ada mendapat maklum balas daripada beberapa pihak, antaranya daripada satu IPT di Johor yang menjemput kami untuk mengadakan persembahan di sana pula.

"Michael juga ada menerima maklum balas daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang untuk mengadakan persembahan di sana kerana ia memberi faedah kepada semua pelajar di IPT.

"Generasi muda nampaknya cenderung kepada industri hiburan. Ia satu industri yang luas dan turut membabitkan teknikal seperti pemuzik, penulis, penerbit dan sebagainya.

"Industri ini diminati oleh ramai anak muda. Namun, mereka tidak ada lapangan yang sesuai untuk meneruskan minat seterusnya bertukar menjadi kerjaya," katanya.

ZAINAL gembira dapat hiburkan penonton dengan sembilan lagu. - FOTO Genes Gulitah
ZAINAL gembira dapat hiburkan penonton dengan sembilan lagu. - FOTO Genes Gulitah

Sementara itu seorang maestro muzik, Veerapen pula berkongsi mengenai perbincangan antara dia dan wakil dari Jabatan Muzik USM yang ingin menawarkan subjek elektif berkaitan perjalanan karier seni Zainal.

"Maklum balas yang kami terima sangat menggalakkan. Kami merancang untuk pergi lebih jauh dalam memacu objektif ini, ke Utara sehingga ke Selatan tanah air dengan menggunakan konsep sama.

"Menerusi perbincangan dengan pihak Jabatan Muzik USM, mereka ingin menganjurkan program muzik secara langsung dan mengangkat perjalanan karier Zainal sebagai artis yang mungkin juga boleh ditawarkan sebagai satu subjek elektif.

"Institusi akademi boleh mengenal dan mendalami sumbangan Zainal kepada industri dan wujudkan kursus khas yang mengkaji struktur di sebalik perjalanan seninya itu," katanya.

Tambah Michael, tidak mustahil sekiranya anak seni tempatan diangkat dan dijadikan kajian seperti mana industri muzik dunia mengkaji pemuzik-pemuzik dari pelbagai era.

"Kita selalu melihat ada pelbagai kajian dalam muzik terhadap pemuzik-pemuzik seperti Beethoven, Mozart dan sebagainya. Kenapa kita tak wujudkan juga kajian muzik anak tempatan seperti Zainal?

"Tak salah untuk kita wujudkan satu proses kajian mengenai anak seni tempatan, antaranya selain Zainal, Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search dan sebagainya," katanya.

Di Sound Spirit, Zainal mempersembahkan sembilan lagu termasuklah lagu popularnya iaitu Hijau, Ikhlas Tapi Jauh dan Manis. Selain Zainal, pentas juga dihangatkan dengan penampilan khas oleh Pija Yasin dan One Juicy.

Manakala, barisan pelajar IPT yang hadir adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti UCSI dan Universiti Lim Kok Wing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 6:49 AM