Zainal Abidin pada persembahan musik beliau, ZAINALABIDIN The Legacy Of Sound di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). FOTO GENES GULITAH
Zainal Abidin pada persembahan musik beliau, ZAINALABIDIN The Legacy Of Sound di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). FOTO GENES GULITAH
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Tiga hari selepas dilahirkan, saya diserahkan kepada datuk dan nenek. Saya anak yang tak diinginkan. Datuk dan nenek saya pemuzik,". 

Demikian kongsi penyanyi, Datuk Zainalabidin ketika tampil di pentas Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit), yang berlangsung malam di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC), malam semalam.

Zainal, 65, mendedahkan perkongsian itu di hadapan 500 penonton termasuk lebih 250 pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT), bagi menyuntik semangat kepada mereka supaya tidak mengalah dalam menjalani kehidupan walau seberat apa pun.

Tambah penyanyi kelahiran Johor itu lagi, proses membesar adalah satu proses yang sukar, namun dia menimba pelbagai pengalaman sepanjang perjalanannya itu. 

"Pada usia lapan tahun, datuk dan nenek saya meninggal dunia. Jadi, saya berpindah dari satu ke satu keluarga dan saya jadi kanak-kanak yang terkesan dari segi mental dan fizikal.  

"Kehidupan sangat sukar. Saya bekerja di jalanan menjual ais kacang dan ada kalanya, bermain muzik dengan menggunakan kotak dan bangku sebab tak ada duit. 

"Saya menyeberang ke Singapura dengan berjalan kaki. Saya pernah bekerja sebagai buruh binaan dan menjadi tukang basuh pinggan. Akhirnya saya di sini. 

"Anda semua bertuah dapat belajar di universiti, mendapat sokongan kerajaan dan paling utama, sokongan keluarga. Industri muzik ini sebenarnya boleh menjana pendapatan," katanya. 

Di Sound Spirit, Zainal mempersembahkan sembilan lagu termasuklah lagu popularnya, Hijau, Ikhlas Tapi Jauh dan Manis.

Mengetengahkan konsep berhibur sambil mendidik, Sound Spirit turut menampilkan tiga panelis lain yang berpengalaman dalam bidang muzik iaitu maestro muzik, Michael Veerapen, pemain perkusi, Steve Thorton dan jurutera bunyi, Sunil Kumar. 

Pelajar-pelajar IPT yang hadir adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti UCSI dan Universiti Lim Kok Wing. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 12:29 PM