Nurul Husna Mahmud


SERAMAI 47,000 kanak-kanak di Malaysia didiagnosis menghadapi gangguan austime iaitu kecelaruan dalam perkembangan neurologi sehingga mengganggu fungsi perkembangan otak yang berlainan.

Dikatakan asal perkataan autisme itu sendiri diambil daripada perkataan Yunani iaitu 'autos' bermaksud diri yang juga merujuk kesukaran anak ini berinteraksi dengan persekitaran termasuk ruang lingkup sosial.

Kebanyakan mereka ini sensitif dan bereaksi keterlaluan atau tidak memberi tindak balas dengan apa yang berlaku sekeliling menyebabkan kehadiran mereka janggal.

Namun, tidak bermakna mereka ini tidak boleh menempatkan diri dalam kalangan masyarakat, malah dengan latihan dan pendedahan terhadap terapi tertentu boleh membantu kelompok golongan terbabit.

Salah satu kaedah unik diperkenalkan Pengasas Colors of Sound yang juga jurulatih perkusi atau 'drum circle' Haiqal Hermansyah, mendekati golongan kanak-kanak 'autism' dengan bermain dram dan alat muzik perkusi.

Dia yang ditemui ketika sesi bersama kanak-kanak di Pusat Latihan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dengan medium muzik, kanak-kanak autisme boleh dilatih menerima arahan.

"Setiap kategori kanak-kanak bekeperluan khas ada ciri-ciri unik masing-masing dan tahap kesukaran mereka untuk memahami dan menguasai kemahiran juga berbeza.

"Begitu juga untuk kanak-kanak autisme mereka ini boleh bermain alat muzik dan ada sebahagiannya berbakat dalam mengendalikan dram serta alat perkusi.

"Namun, kecelaruan yang dihadapi menyukarkan mereka memahami atau mempelajari muzik dalam pembelajaran normal atau biasa.

"Oleh itu, fasilitator atau guru muzik bagi kanak-kanak ini perlu ada kepakaran dan kemahiran dalam mengendalikan sesi bermain muzik berkenaan.

SUASANA ketika sesi terapi muzik.
SUASANA ketika sesi terapi muzik.

GURU pembimbing membantu kanak-kanak memahami arahan.
GURU pembimbing membantu kanak-kanak memahami arahan.

"Kebiasaan kalau saya mengendalikan kanak-kanak autisme seperti yang berlangsung dalam program ini, arahan yang pendek dan mudah digunakan.

"Umpamanya kerap lakukan pengulangan dengan arahan yang sama selain perlu teliti atau tunjukkan kaedah yang betul supaya mereka boleh ikut dan tiru perbuatan berkenaan," katanya.

Cabaran lain ialah tempoh atau jangka masa diambil untuk kanak-kanak ini ikut dan terima arahan juga bukan tempoh singkat.

"Berbanding kanak-kanak normal, tahap mereka untuk memahami dan menerima arahan itu perlu melalui tempoh yang panjang.

"Sebelum ini saya lakukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk lihat perubahan. Tetapi, usaha itu berbaloi apabila ibu bapa memaklumkan ada impak iaitu anak mereka boleh menerima arahan.

"Perubahan pada anak autisme ini yang mungkin kecil pada orang lain, tetapi amat besar untuk ibu bapa mereka yang berharap setiap skil atau terapi dilakukan membawa perubahan pada tingkah laku mereka," katanya.

Tambah Haiqal, atas faktor itu juga dia selesa untuk terus berbakti kepada pelbagai kelompok golongan istimewa yang sudah masuk tahun kesepuluh.

"Saya bersama golongan istimewa ini sebenarnya didorong penyertaan aktif kanak-kanak dan ibu bapa mereka yang hadir dalam aktiviti 'drum circle' yang pernah saya jalankan.

"Malah, saya bermula dengan mendekati orang ramai di pusat beli-belah untuk memaklumkan mengenai aktiviti bermain dram dan alat perkusi dilakukan secara beramai-ramai.

"Antara yang kerap turut serta ialah kanak-kanak istimewa. Sejak itu, saya mula kembangkan aktiviti ini kepada golongan berkeperluan khas bagi membantu mereka meningkatkan perkembangan baik fizikal, motor, emosi mahupun mental," katanya.

Menyedari masalah segelintir kanak-kanak ini yang tidak selesa atau sensitif dengan bunyi yang nyaring, penggunaan alat dram dengan perincian 'black leather head' membantu memberi ton yang lebih selesa untuk anak-anak istimewa terbabit.

Bagi Koordinator Program Intervensi Awal Nasom, Manonmaney Muniandy pula, muzik antara pendekatan digunakan dalam mengendalikan kanak-kanak autisme.

"Memang di pusat ini ada sesi bermain alat muzik, tetapi tidak begitu fokus atau mendalam. Kehadiran pihak luar seperti Haiqal yang berpengalaman dalam muzik lebih mengetahui kaedah terbaik untuk bantu anak-anak autisme.

HAIQAL bersama seorang penghidap Cerebral Palsy.
HAIQAL bersama seorang penghidap Cerebral Palsy.

HAIQAL (belakang kanan) bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
HAIQAL (belakang kanan) bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

"Bantuan pihak luar seperti ini dapat gilap bakat anak-anak yang memiliki kemahiran bermain muzik dan boleh pergi jauh termasuk menjadi kerjaya mereka," katanya.

Kata Manonmaney lagi, muzik juga menjadi medium pembelajaran atau kaedah penyampaian memudahkan sesuatu maklumat itu diterima kanak-kanak berkenaan.

"Bagi sesi pembelajaran, dapat dilihat tingkah laku mereka berbeza apabila menggunakan muzik sebagai kaedah penyampaian.

"Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan pengajar yang menggunakan teknik muzik dikaitkan dengan topik seperti mengenal warna dan haiwan. Dapat lihat penerimaan mereka lebih baik," katanya yang berkhidmat lebih 30 tahun dengan pusat berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Nasom, Anne Gerard berkata, muzik adalah menghubungkan kanak-kanak itu dengan dunia yang selama ini dirasakan cukup 'terasing' buat mereka.

"Bagi kanak-kanak ini mereka sebenarnya boleh berada dalam masyarakat, andainya masyarakat itu sedia menerima dan memberi sokongan kepada kelompok ini.

"Seperti program hari ini, kanak -kanak ini yang bermain dram dan alat perkusi tampak mereka boleh menyesuaikan diri dalam aktiviti terbabit dan ada yang boleh bermain dengan baik.

"Ini juga contoh mereka boleh melakukan seperti kanak-kanak normal asal menerima latihan dan bantuan yang mencukupi. Jadi, untuk ada persekitaran yang sesuai, kesedaran dalam kalangan masyarakat diperlukan," katanya.

Nasom ketika ini mempunyai lebih 16 pusat interversi awal autisme yang membantu menyediakan latihan dan pembelajaran sewajarnya untuk kanak-kanak mengalami masalah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 7:00 AM